fbpx

PERUBAHAN ADALAH UNTUK KEBAIKAN

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa kembali di Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS untuk musim 2020.

Setelah hampir tiga bulan ‘berehat’, kejuaraan terunggul negara ini kembali menemui peminatnya dan apa yang pasti saingan musim ini akan bertambah menarik dan mencabar.

Musim baharu, cabaran pun serba baharu, dan inilah keunikan kejuaraan ini yang sentiasa menghadirkan perubahan bagi memastikan ia terus kekal relevan, mencabar dan berdaya saing.

Tahun ini, Litar Lumba Tangkak di Johor akan menjadi venue untuk pusingan pembuka tirai yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Mac ini.

Selepas Tangkak, ia akan beralih ke utara tanah air iaitu Batu Kawan, Pulau Pinang yang akan menjadi destinasi Pusingan 2.

Aksi di Batu Kawan akan berlangsung pada 28 dan 29 Mac.

Seperti yang semua sedia maklum, promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd telah memperkenalkan kategori baharu pada saingan musim ini.

Buat pertama kalinya, kategori baharu iaitu kelas CP125 akan dipertandingkan bagi menggantikan kelas CP115 yang mula diperkenalkan di Cub Prix pada tahun 2010.

Perubahan ini telah mendapat sambutan yang baik daripada semua pasukan kerana ia dikatakan memudahkan tugas mereka untuk mengumpul data terperinci berbanding CP115.

Ramai yang berpendapat bahawa kelas CP125 ini yang menggunakan ‘fuel injection’ amat baik untuk semua pasukan dan setiap pelumba lebih cepat belajar menerusi penilaian daripada data log yang dikumpul.

Apa pun, kita berharap agar perubahan itu akan menjadikan Cub Prix lebih menarik, sekali gus terus kekal memainkan peranan melahirkan lebih ramai pelumba yang dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi suatu hari nanti.

Para pelumba, pasukan serta pegawai perlu ingat bahawa Cub Prix adalah langkah permulaan sebelum melanjutkan karier mereka ke pentas antarabangsa.

Nilai-nilai professional pula sentiasa diterapkan dalam kejuaraan Cub Prix agar reputasinya setanding dengan kejuaraan-kejuaraan antarabangsa yang lainnya.

Selain perubahan di litar lumba, pihak penganjur juga melakukan sedikit perubahan berkenaan akreditasi media.

Meskipun ramai yang ‘kurang senang’ dengan perubahan kecil itu, tetapi tujuan utamanya adalah untuk mendidik nilai-nilai professional dalam kalangan rakan-rakan media sebelum membuat liputan acara besar seperti Cub Prix.

Bagi rakan-rakan media yang sudah terbiasa memohon akreditasi media untuk suatu kejohanan besar, ia bukan satu masalah buat mereka, tetapi bagi mereka yang TIDAK terbiasa, pastinya berasa kecewa.

Perlu diingat bahawa Cub Prix bukan kejuaraan kelas bawahan. Ia merupakan satu kejuaraan berprestij dan urusan untuk memohon akreditasi media juga perlu dibuat dengan cara yang lebih profesional.

Bagi mereka yang sudah terbiasa membuat liputan kejuaraan MotoGP mahupun, F1, mereka pasti dapat memahaminya bagaimana proses permohonan serta kelulusan dilakukan.

Jadi, urusan pas media untuk Cub Prix juga sedang bergerak ke arah itu, seperti mana yang diamalkan oleh unit media MotoGP mahupun F1.

Cub Prix sudah tidak boleh dilihat sebagai acara kelas bawahan lagi kerana kejuaraan sukan dua roda negara ini sudah memiliki reputasi yang sangat tinggi.

Selain itu, perubahan ini adalah untuk menentukan setiap pemegang akreditasi media Cub Prix ini betul-betul membantu dari segi publisiti untuk kejuaraan ini dan diterbitkan atau disiarkan dalam organisasi masing-masing.

Sejak beberapa tahun lalu, ramai individu yang datang membuat liputan, tetapi publisiti untuk Cub Prix sangat mengecewakan.

Jadi, dengan sedikit perubahan dari segi mengeluarkan akreditasi media tahun ini, saya berharap agar Cub Prix mendapat publisiti meluas kerana ia adalah medan untuk melahirkan pelumba Malaysia melangkah ke pentas dunia.

Sebarang perubahan pasti tidak disenangi, tetapi matlamatnya adalah untuk membawa kebaikan.

Fikir-fikirkanlah dan jumpa lagi.