Md Fareez Afeez dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori CP125 bagi pusingan keempat, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa (selatan) petang ini.
Di sesi latihan bebas 1 yang berlangsung pada waktu pagi Fareez mencatatkan masa terpantas dengan catatan masa 1’30:117s. Di tempat kedua, rakan sepasukan Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam mencatatkan masa terpantas pada 1’30:434s diikuti oleh Md Aliff Danial Md Asri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 1’30:651s. Bagi sesi latihan 2, Fareez sekali lagi mencatatkan masa terpantas pada 1’20:708s diikuti oleh Ahmad Syukran Aizat dari pasukan Rexxo Racing Team dengan catatan masa 1’20:829. Shafiq mengambil tempat ketiga terpantas dengan catatan masa 1’21:029s.
Cuaca pada petang semasa sesi kelayakan agak baik selepas hujan pada waktu pagi. Pelumba-pelumba CP125 telah memulakan aksi tanpa sebarang halangan. Pelumba yang telah tampil dengan persembahan yang hebat di Jasin sebelum mengalami masalah jentera kembali untuk menyahut cabaran di Litar Sepang petang ini apabila berjaya mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan. Beliau mencatatkan masa terpantas pada 1’20:284s. Musim lepas, Fareez hanya mendapat tempat kelapan terpantas di litar ini.
Menurut Fareez, “Kali ini, kami sepasukan memang telah membuat perubahan dari segi jentera. Kami telah mengubah “sprocket” dari latihan bebas 1, kedua sehingga sesi kelayakan tadi. Kami telah mengambil masa untuk mencari kesesuaian untuk kegunaan dalam perlumbaan kali ini. Dalam pasukan saya, semua dalam keadaan baik buat masa ini. Dari segi cuaca juga, kami tidak kisah hujan ataupun kering, kami tetap akan berlumba seperti biasa. Ini adalah hasil daripada usaha kami dan saya berterima kasih kepada pasukan saya.”
Di tempat kedua terpantas adalah Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 1’20:559s. Md Amirul Ariff Musa dari pasukan SCK Honda Racing Team mencatatkan masa ketiga terpantas pada 1’20:599s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook