Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing akan kembali untuk pusingan ketiga dengan semangat untuk mendominasi kategori CP125 di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Menaiki podium sudah menjadi suatu kebiasaan bagi pelumba yang berasal dari Terengganu. Hafiza yang menduduki tempat ketiga keseluruhan pada musim lalu sekali lagi memperagakan kebolehannya untuk berlumba dimana-mana litar dengan pencapaian yang hebat.
Pada musim ini, Hafiza telah menunjukkan dominasinya di Litar Sepang dan Litar Tangkak apabila beliau berjaya mengukuhkan kedudukannya di tangga pertama pada kedua-dua pusingan tersebut. Pada perlumbaan baru-baru ini, Hafiza telah memaparkan strategi yang mantap apabila beliau menyambar peluang untuk menguasai kedudukannya di litar sekaligus menamatkan perlumbaan dengan catatan rekod terpantas.
Beliau berkata, “Untuk perlumbaan yang akan datang, kami akan menggunakan data yang telah diperolehi untuk persediaan jentera kami.”
“Persaingan kali ini agak mencabar terutamanya dengan pelumba-pelumba yang berbakat. Namun begitu, saya bersama-sama dengan rakan sepasukan akan cuba untuk podium bagi setiap perlumbaan. Untuk juara keseluruhan, saya akan cuba konsisten dalam pungutan mata.”
Menurut Alizan Thambi, pengurus pasukan ONEXOX TKKR Racing, “Prestasi Hafiza lebih mantap kali ini, lebih-lebih lagi dengan kejayaannya di ARRC baru-baru ini. Dengan ini, kami berharap bahawa Hafiza akan terus memperkukuhkan kedudukannya.”
“Selain itu, kedudukan pelumba-pelumba kami yang lain juga memang bagus dan berpengalaman. Jentera mereka juga lebih kurang sama dengan milik Hafiza. Oleh itu, kami akan berusaha untuk mendapat ketiga-tiga tempat di podium pada pusingan seterusnya.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook