fbpx
Adib Rosley dari pasukan YY Pang Yamaha Racing percaya bahawa beliau masih mempunyai peluang untuk mempertahankan gelaran juara

ADIB MASIH DI LANDASAN TEPAT

Berbaki lapan pusingan lagi untuk melengkapkan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Pri, Md Adib Rosley dari pasukan YY Pang Yamaha Racing percaya bahawa beliau masih mempunyai peluang untuk mempertahankan gelaran juara. Walaupun persaingannya bertambah hebat kali ini dengan kehadiran pelumba-pelumba yang berkemahiran tinggi, namun beliau tidak akan berputus asa dan akan meneruskan perjuangannya untuk mengecapi kejayaan.

Nasib tidak menyebelahi Adib apabila beliau menghadapi masalah teknikal di pusingan pertama dan kedua perlumbaan CP125. Beliau hanya mampu menamatkan perlumbaannya pada tangga ke sebelas dan kesepuluh masing-masing dengan mengumpul 15 mata secara keseluruhan.

Menurut Adib, “Saya agak kecewa dengan perlumbaan pusingan pertama dan kedua. Namun begitu, saya tidak akan putus asa dan akan cuba yang terbaik untuk mengumpul mata semaksimum yang boleh. Saya rasa agak ketinggalan dengan Hafiza yang telah berjaya menaiki podium dua kali berturut-turut. Insya Allah, saya akan naik podium dalam pusingan yang akan datang.”

Keputusan dua pusingan awal ternyata sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada Adib. Walau bagaimanapun, ia tidak mengurangkan semangatnya malah beliau tekad menggunakan pengalaman yang di miliki untuk meneruskan perjuangannya di kejuaraan ini untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.

“Saya tidak menguji jentera perlumbaan tetapi saya banyak menghabiskan masa melakukan latihan dengan jentera Y15ZR di kawasan Kuala Selangor untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental. Persaingan pusingan-pusingan yang akan datang akan bertambah lebih sengit dan saya memerlukan pemikiran yang tenang untuk meneruskan perlumbaan ini untuk mencapai prestasi yang lebih baik.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook