fbpx

HAFIZ TERPANTAS DI JEMPOL

Selepas meraih gelaran naib juara pada pusingan lepas, Hafiz Nor Azman terus berada dalam prestasi terbaik apabila berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mencatat masa terpantas 46.227s pada pusingan kelima yang juga merupakan catatan rekod litar manakala Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang tidak beraksi pada perlumbaan lepas di Serdang muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan masa 46.485s.
Sementara itu, Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 46.528s.

“Saya gembira dengan keputusan hari ini. Aksi seperti ini amat penting bagi kami setelah mempamerkan prestasi tidak menentu sejak pertengahan musim,” jelas Hafiz tentang prestasi terbaik yang dipamerkan ketika ini.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, “Ini musim pertama saya di dalam kelas CP130. Mungkin pada peringkat awal musim saya masih kekok dan kurang pengalaman berhadapan pencabar-pencabar senior. Mujurlah ketika itu abang Zamri (Mohd Zamri Baba) banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Namun dengan ketiadaan Zamri di dalam pasukan, ia amat dirasai, bukan sahaja saya, malah seluruh pasukan. Jadi selepas beberapa pusingan gagal memberi aksi terbaik, saya tekad untuk melakukan perubahan, bukan sahaja untuk diri saya, malah untuk menaikkan semangat rakan sepasukan lain dan sedikit sebanyak ia berhasil apabila saya berjaya meraih podium pada perlumbaan lepas.”

Bercakap tentang peluang untuk meraih podium buat kali kedua, Hafiz berkata, “Jentera saya berada pada tahap terbaik ketika ini, dan masih ada ruang untuk dipertingkatkan. Saya berharap keadaan ini akan berkekalan pada sesi Superpole esok kerana amat penting untuk saya bermula dari bahagian depan memandangkan ruang untuk memintas di sini agak terhad.”