fbpx

HAFIZ BEBAS KECEDERAAN, TURUN BERAKSI DI TELUK INTAN


newshafiz-02Mohd Hafiz Nor Azman gembira apabila disahkan pulih dari kecederaan dan dibenarkan untuk kembali ke litar bagi menghadapi saingan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 30 dan 31 Julai ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mengalami kecederaan pergelangan tangan kiri setelah mengalami kemalangan sewaktu beraksi dalam saingan Asia Dream Endurance Race di Litar Suzuka bulan lepas.

“Sangat menyedihkan kerana akibat kemalangan itu, saya dan rakan sepasukan, Hiroki Nakamura terpaksa menarik diri dari perlumbaan tersebut sedangkan kami mempunyai peluang untuk memenangi perlumbaan,” jelas Hafiz.

Kemalangan tersebut juga menyaksikan Hafiz terpaksa menjalani pembedahan kecil di Malaysia. “Sebaik pulang ke Malaysia, saya menjalani pembedahan kecil dan juga melakukan terapi intensif di sepanjang bulan ramadan. Selain itu saya juga sudah menjalani latihan di litar baharu ini.”

“Saya percaya kecederaan ini sudah pulih sepenuhnya dan doktor juga akan memberi pelepasan untuk saya berlumba. Meskipun agak kecewa di Suzuka, namun mujurlah kecederaan ini tidak menjejaskan kempen saya di peringkat kebangsaan,” jelas pelumba berusia 20 tahun itu.

Selepas empat pusingan, Hafiz terikat di kedudukan kelima keseluruhan bersama Md Adib Rosley dari pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang dengan 38 mata, 40 mata ketinggalan kepada pendahulu, Ahmad Fazli Sham.

, ,