HADIR PENAJA, HADIR SEMANGAT BARU – KHAIRI ASYRAF MENAKLUKI CP125

Sebut saja YY Pang Yamaha Racing Team, pasti ramai mengaitkannya dengan modifikasi ekzos motosikal yang dibangunkan sejak tahun 1970 dan sehingga hari ini, nama itu terus meniti di bibir peminat jentera dua roda yang mahukan prestasi.

Melakar nama selama 32 tahun dalam dunia sukan permotoran yang boleh disifatkan sebagai salah sebuah pasukan paling ‘senior’ dalam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, YY Pang Yamaha Racing Team telah diasaskan oleh Pang Yok You atau lebih dikenali YY Pang selain ‘SIFU’ pada tahun 90-an.

Walaupun kurangnya penaja ketika waktu itu, kehandalan ‘spek’ motorsikal YY Pang Racing Sport menarik ramai anak muda menyertai pasukan tersebut!

Namun, pasukan yang boleh disifatkan pasukan ‘role model’ kepada anak muda di luar sana susulan reputasi yang dimiliki mengalami fasa yang tidak begitu baik apabila mereka kehilangan penaja. Mereka yang sentiasa memastikan gelaran menjadi miliknya, mengakhiri kategori CP125 musim lalu di tangga ke-5 secara keseluruhan.

Ia mungkin nampak biasa dalam dunia permotoran, namun kepada pasukan itu sendiri ia adalah suatu kepahitan yang sukar untuk ditelan.

Apapun, tidak berputus asa dengan keputusan yang kurang menyerlah itu, YYPang Racing Team bangkit pada musim ini menerusi pelumba, Khairi Asyraf Mahmood dan kebangkitan itu bukan hanya kerana pelumba yang handal malah juga kehadiran penaja Baharu JETRON.

Khairi Asyraf, nama yang bukan asing dalam arena pormotoran negara, mewakili JETRON YYPang Racing Team kini mendominasi kategori CP125 dengan mengutip 88 mata dan disusuli rakan sepasukannya Shafiq Ezzariq dengan 73 mata.

Katanya, “Musim lalu sesuatu yang pahit bagi saya. Tidak dapat beraksi dan pusingan terakhir DNF dan saya tidak mahu komen lah berkenaan kedudukan.. ha ha ha.. bersama ‘SIFU’ juga. Tanpa adanya sponsor, ia memang sesuatu yang sukar untuk luahkan, tetapi itu dah lalu dan kini kami kembali dengan penaja baru di mana boleh disifatkan sebagai nafas Baharu untuk pasukan kami.

“Dari tidak dapat beraksi kini mendahului selepas lima pusingan memang sesuatu yang menggembirakan. Sudah pastinya saya mahu berterima kasih kepada pasukan saya dan juga penaja kami. Selepas kehadiran penaja kami dapat menambah kelajuan motor kami dan ketahanan yang lebih cekap membuatkan kami lebih yakin untuk mengendali jentera di atas litar sekaligus memenangi perlumbaan.”

Mengikut jejak abangnya yang juga seorang pelumba Cub Prix sebelum ini, Khairi Asyraf mula berkecimpung dalam sukan permotoran sejak umur 16 tahun.

“Saya boleh dikatakan agak lewat juga memulakan perjalanan saya sebagai pelumba profesional. Ketika abang saya mula berlumba saya 15 tahun dan keinginan untuk merasa berlumba di litar sebenar mula membara dalam diri saya dan pada tahun seterusnya saya bersama pasukan Felda AFB Tech Racing melakukan debut dalam kategori wira pada tahun 2016.Begitulah saya melebarkan sayap sehingga mendapat kepercayaan ‘SIFU’ untuk beraksi dalam kategori CP125.

“Walaupun sekarang ini saya dah umur 23, keinginana saya untuk beraksi di kejuaraan motorsikal dunia masih ada. Saya harap suatu hari nanti saya akan capai juga Impian saya untuk berada di platform antarabangsa.”

Mengintai gelaran sulung CP125, Khairi optimis kini berada pada trek yang tepat untuk meralisasikan impiannya dengan berbaki lima pusingan lagi. Bagaimanapun enggan mahu selesa dengan kedudukan pelumba dari Selatan itu tekad meraih mata semaksimum dalam setiap perlumbaan selepas ini.

“Sasaran utama saya untuk memberikan kemenangan kepada pasukan saya. Walaupun sudah berada di top carta saya tidak mahu cuai, saya nak elak melakukan kesilapan. Dengan adanya teammate yang lebih berpengalaman, Shafiq, kami mahu berlumba dengan cara yang lebih ‘safe’ untuk melakar kemenangan. “Saya juga tidak mahu terlalu fikir pasal gelaran buat masa ini. Jika itu milik saya, Insyallah saya akan lakukan yang terbaik dalam setiap perlumbaan selepas ini. Bagi saingan minggu ini pun sama juga. Saya akan buat yang terbaik, litar yang kecil jadi kena lebih arif dengan strategi saya,” jelas Khairi.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook