fbpx

MEMBAWA SEMANGAT BAPA BAHARU, AZROY MENGEKALKAN RENTAK KEMENANGAN

“Kehadiran Ayra Ameena, sudah pastinya menjadi pembakar semangat untuk menampilkan aksi yang lebih baik di setiap perlumbaan tak kisah, MCP, ARRC atau MSBK, saya telah ‘all out’ di setiap race. Dia adalah anugerah terindah buat saya dan isteri.” itu luahan pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar.

Tidak boleh dinafikan kehadiran insan kecil comel dan molek dalam kehidupan setiap manusia bukan sahaja akan meningkatkan semangat tetapi juga mengubahkan prespektif terhadap kehidupan. Begitu juga kepada setiap atlet tanpa mengira sukan mana, cahaya mata sentiasa menjadi faktor kejayaan mereka.

Tidak tertinggal pelumba Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar yang menimang cahaya matanya November lalu, rezeki yang dikurniakan bersama isteri, Alia Atasya, 24, yang turut menyifatkan kehadirannya memang memberi impak yang besar dalam perjalanan sebagai pelumba profesional.

“Segala penat lelah akan hilang bila saya tengok senyuman di muka Ayra. Tak kisah perlumbaan ‘back-to-back’ atau travel jauh, bila saya pulang ada seseorang mencari saya. Di sini, bukan sahaja ia meningkatkan semangat saya tetapi juga perspektif saya sebagai pelumba profesional yang ingin mencapai sesuatu dalam perjalanan karier saya ini. Keinginan untuk beraksi lebih baik, membuat persiapan yang lebih rapi itu semakin meningkat.

“Saya juga bersyukur dapat isteri dan keluarga yang memahami. Sebagai seorang pelumba, saya setiap pelumba akan melalui situasi ini, mengimbangkan masa untuk keluarga itu agak mustahil tetapi setakat ini saya tidak ada masalah untuk mengimbangkan masa bersama keluarga namun dengan sokongan isteri, saya dapat mengatur masa saya lebih baik.

“Jika ada perlumbaan yang berdekatan, saya akan bawa keluarga saya sekali agar kami dapat meluangkan masa dan pada masa yang sama juga, saya dapat rasa sokongan mereka lebih dekat,” katanya.

Baru-baru ini, pelumba berusia 24 itu mencipta sensasi dengan melakar kemenangan di saingan Race 1, Malaysia Superbike Championship, MSBK yang berlangsung di Litar Antarabanga Sepang selepas beraksi di saingan Asian Road Racing Championship, ARRC, seminggu sebelumnya.

Beraksi dengan tiga jentera berbeza dalam tempoh tiga minggu, ia bukan sesuatu yang mudah apatah lagi Azroy berjaya melakar kemenangan di MSBK ketika melakukan debut dalam kategori 1000cc.

“Sebenarnya ia sesuatu yang tidak dijangka tetapi satu perlumbaan yang sangat memuaskan. Beraksi bersama pelumba-pelumba yang yang berpengalaman seperti Zaqhwan, Azlan dan Kasma, dan dapat menjejak podium itu memang mengembirakan. Sudah pastinya kemenangan itu sedikit sebanyak menyuntik semangat saya di pusingan ke-6 MCP di Teluk Intan minggu ini. Saya mahu mengekalkan momentum itu dan rentak yang sama agar saya dapat meraih mata semaksimum mungkin dan memberikan kemenangan kepada pasukan saya.

“Trek di Teluk Intan, nak kata kelebihan memang tiada apa-apa kelebihan di sana. Trek yang kecil tetapi apa pun saya akan cuba yang terbaik. Paling mencabar di trek ini adalah jentera Yamaha, mereka yang mempunyai kelebihan di sana. Macam mana pun ini adalah race dan apa sahaja boleh berlaku. Jadi, saya harapkan untuk mengakhiri saingan minggu di pentas podium juga.”

Mungkin semangat bapa baru boleh bawa gelaran musim ini? Apa kata Azroy?

“Ha ha ha.. buat masa sekarang masih awal lagi untuk kata sebab kedudukan antara top 5 jurang mata setiap pelumba adalah kecil, jadi buat masa sekarang saya taknak fikir sangat pasal championship point. Saya hanya ingin cuba untuk menaiki podium untuk setiap pusingan, kutip mata dan kita tengok lah nanti, kalau rezeki saya, Insyallah tak ke mana!”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook