Semakin hampiri matlamat, tekanan semakin besar…
Pelumba muda dari HK MOTOR RACING, Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki, mensasarkan gelaran juara keseluruhan Yamaha PETRONAS Super Series di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2024.
Mendominasi kedudukan podium dalam setiap pusingan, termasuk 5 kali meraikan kemenangan, cukup untuk memberi amaran bahawa misi Syafiq untuk menyambar gelaran juara keseluruhan bukan sekadar cakap kosong.
Syafiq berkongsi, “Menghuni di tangga teratas dalam kedudukan keseluruhan setakat ini, saya sangat gembira dan bersyukur kepada Yang Maha Esa. Pencapaian ini adalah hasil usaha yang berterusan, dan saya berharap dapat terus menang dan maju ke hadapan dalam perlumbaan ini.”
Berdasarkan jumlah 161 mata yang dikumpulkan selepas 7 pusingan, iaitu 47 mata di hadapan pencabarnya, Md Adam Shahzhriel Syafiq M Azhrel dari WUWAY MOTOR, Syafiq mampu memastikan gelaran juara keseluruhan itu serta-merta jika memenangi perlumbaan pada Pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Sementara memasang hasrat besar itu, Syafiq tidak menafikan tekanan yang turut dirasai. “Saya merasakan tekanan tetapi juga keyakinan. Dengan persiapan yang rapi dan sokongan daripada pasukan, saya yakin dapat merealisasikan impian ini. Saya akan berusaha sehabis baik untuk mencapai kemenangan.”
“Persiapan saya sangat intensif. Saya berlatih setiap hari, mengasah kemahiran dan mengatur strategi mental serta fizikal. Saya percaya bahawa persediaan yang baik adalah kunci kejayaan.”
“Bagi saya, gelaran juara adalah pengiktirafan atas usaha dan dedikasi. Walaupun saya tidak mengimpikannya secara berlebihan, siapa yang tidak mahu menang? Saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan,” tambah Syafiq.