fbpx

AZRUL IDAM ULANGI KEMENANGAN DI JEMPOL


“Kembali berlumba di Dataran Seri Jempol yang dipenuhi detik manis. Andai menjulang piala sekali lagi, pasti menjadi momen istimewa.”

Ini luahan Azrul Affendi Hadi yang beraksi dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix.

Menjelang Pusingan 8 yang akan berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan—tempat kelahiran Azrul dan juga litar kegemarannya—dia tidak sabar untuk kembali.

Selepas memenangi perlumbaan di Dataran Seri Jempol pada Pusingan 5 musim 2022, peluang untuk berlumba di litar itu sangat dinanti-nantikan.

Azrul berkata, “Peluang untuk berlumba di Jempol kali ini memang sangat istimewa bagi saya. Jempol bukan sahaja litar kegemaran, tetapi juga tempat kelahiran saya. Dengan pengalaman kemenangan dua tahun lalu, saya bertekad untuk sekali lagi menaiki podium. Saya akan berusaha sehabis baik dan memastikan saya tidak mengulangi kesilapan yang berlaku di Teluk Intan. Fokus utama saya adalah untuk memberi yang terbaik dan mengharapkan hasil yang memuaskan.”

Demi memastikan impian dicapai, Azrul telah membuat persediaan lengkap untuk menghadapi aksi sengit yang bakal mendatang. “Persiapan saya untuk perlumbaan di Jempol minggu ini telah dijalankan dengan teliti. Saya memberi fokus pada aspek fizikal dan kecergasan diri agar sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Selain itu, saya juga meluangkan masa untuk latihan praktikal di litar agar dapat memahami setiap sudut dan cabaran yang ada. Saya benar-benar bersemangat dan bersedia untuk memberikan saingan hebat kepada semua pelumba lain di Jempol.”

Azrul juga mengakui peningkatan positif pada pesaing-pesaing dalam kategorinya, dan percaya usaha yang dilaburkan tidak akan mengkhianati hasilnya.

“Persaingan dalam kategori Pro-Am musim ini cukup mencabar. Saya perhatikan banyak pelumba muda yang mempunyai semangat dan kemahiran tinggi, di samping pelumba veteran yang lebih berpengalaman. Jentera mereka juga semakin pantas dan efisien, dengan peningkatan ketara dari segi kuasa enjin dan keselesaan. Saya percaya persaingan ini akan menjadikan perlumbaan lebih menarik dan memerlukan saya untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri.”

Azrul berkongsi pendapat mengenai litar Dataran Seri Jempol. “Litar Jempol adalah satu-satunya litar berpagar yang mempunyai pelbagai cabaran menarik. Saya suka dengan selekoh-selekoh seperti ‘U-turn’ di selekoh ke-4 dan ke-5, yang memerlukan ketepatan dan kepantasan dalam mengambil keputusan. Selekoh ke-3 juga menjadi pilihan saya kerana sedikit berbukit, memberikan elemen keseronokan tambahan. Keseluruhan litar ini menguji kemahiran dan strategi, dan saya berasa teruja untuk mengharunginya sekali lagi.”

Berlumba di tempat kelahiran, Azrul pastinya bakal menerima sokongan padu daripada orang ramai. Dia berkongsi keterujaannya, “Sudah tentu! Keluarga, rakan-rakan, dan juga pengikut saya di platform TikTok dijangka akan hadir memberi sokongan. Kehadiran mereka akan memberi suntikan semangat tambahan kepada saya untuk beraksi lebih baik. Dengan sokongan moral ini, saya akan berusaha sedaya upaya untuk tidak hanya menaiki podium tetapi juga memberikan persembahan yang memuaskan hati semua yang hadir. Saya berharap untuk membuat mereka bangga dan tidak akan menghampakan harapan mereka pada minggu ini di Jempol.”

,