fbpx

SAPAAN CUACA UJIAN SEBENAR


Keunikan perlumbaan bukan terletak pada kelajuan semata-mata. Tetapi, keupayaan mengekalkan momentum untuk menamatkan saingan tanpa terkesan walau apapun halangan mendatang. Di sebalik suatu kemenangan, adalah setiap perincian yang saling berkait rapat. Ia merangkumi bukan sahaja pelarasan dan kemahiran pelumba, malah permainan cuaca secara tidak langsung tampil sebagai watak penting untuk memplotkan peristiwa berbeza dalam setiap aksi sekaligus mempersembahkan karakter berbeza setiap pelumba menggunakan kreativiti tersendiri menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas. Perkara ini menjadi peringatan buat pelumba Wira KBS, PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Farres Putra Md Fadhill.

Bermula cemerlang apabila Farres mendominasi aksi daripada sesi latihan 1 sehingga sesi kelayakan Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Namun, hasratnya untuk memenangi perlumbaan pembuka musim buat kali ke-5 secara berturut-turut tidak kesampaian selepas menamatkan saingan akhir di tempat ketiga.

Ternyata, Farres tidak ‘sediakan payung sebelum hujan’. Dikala tumpu pada pelarasan terbaik, pelumba berusia 16 tahun itu terlepas pandang kemungkinan perubahan cuaca.

Farres akui, “Pada permulaan sesi latihan bebas sehingga sesi kelayakan, keputusan saya amat memuaskan. Akan tetapi pada hari perlumbaan(Ahad), keadaan cuaca agak berbeza(hujan) menjadi faktor utama percaturan(setting) saya dan juga pasukan tidak menjadi pada pusingan 1 ini. Ini juga tahun pertama saya bekerjasama dengan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, saya perlu teruskan belajar dan memahami jentera saya dengan lebih mendalam.”

Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mempunyai rekod baik mengungguli Pusingan 1 kejuaraan sejak musim 2020 sehingga 2023. Bukan itu sahaja, pasukan ini juga memegang gelaran juara keseluruhan selama 4 tahun berturut-berturut sejak 2019 sebelum Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari Bad Lab Honda KC Racing muncul juara keseluruhan 2023.

Impian Farres bersama pasukannya, adalah membalas kepercayaan diberikan dengan membuktikan kebolehan diri melalui merangkul kembali gelaran juara keseluruhan. Dan ‘tersungkur’ di awal musim disifatkan sebagai “wake up call” buat Farres untuk membuat kebangkitan pada pusingan akan datang.

Farres berkongsi, “Bekerjasama dengan pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing adalah kebanggaan saya. Saya akan membuktikan bahawa saya dapat membantu pasukan merangkul kembali gelaran “Overall Championship” dengan semangat dan sokongan dari En Siva serta krew yang lain. Sejujurnya, pasukan tidak memberikan saya tekanan yang tinggi sehinggakan saya merasa diri saya dalam keadaan tertekan.”

“Target saya semestinya ‘Overall Champion 2024’. Setiap pusingan saya mengidamkan kedudukan podium termasuk mengumpul mata sebanyak mungkin. Saya tidak nafi merasa sedikit kecewa tetapi ini juga membakar semangat saya untuk tampil lebih baik buat pasukan dan diri saya sendiri berbaki 9 pusingan lagi.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook