Di Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hari ini menyaksikan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Md Firdaus Md Hamdan muncul terpantas pada sesi kelayakan kategori CP125 B.
Pada sesi latihan 2 Md Firdaus Md Hamdan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencatatkan masa terpantas pada 1’20:342s. Di tempat kedua adalah Md Afizi Supaat dari ONEXOX TKKR RACING TEAM dengan catatan masa terpantas 1’20:720s diikuti Md Shafiq Ezzariq dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM yang mencatat 1’20:982s.
Manakala sesi kelayakan menyaksikan kedudukan pemimpin kumpulan tertukar-tukar sebelum Firdaus memimpin kumpulan dengan konsisten pada minit ke-9. Di kedudukan kedua adalah pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Syamil Amsyar Md Iffende diikuti rakan sepasukannya, Md Izam Ikmal Izamli.
Sesi kelayakan tamat dengan Firdaus di tempat pertama dengan catatan masa terpantas 1’19:625s.
Firdaus berkata, “Saya berterima kasih kerana mendapat jentera yang baik, kerana sebelum ini kami menghadapi cabaran mencatat masa semasa sesi ‘Warm Up’ dan Latihan bebas. Terima kasih kepada pasukan yang banyak membantu. Tidak lupa juga pada Izam, dia turut berdepan masalah jenteranya. Saya tetap memberinya semangat, dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat tempat pertama dan dia tempat kedua. Mungkin esok akan ada perancangan lain. Untuk perlumbaan esok, pastinya bukan perkara mudah di trek Sepang ini, terutamanya dengan cuaca yang panas. Bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik.”
Izam menduduki tempat kedua selepas mencatat masa terpantas 1’19:674s meletakkan Syamil di tempat ketiga pada 1’20:144s.

