fbpx

AZLAN SHAH TAKLUK LITAR BURIRAM


Sengat Azlan Shah Kamaruzaman semakin berbisa.

Hari ini, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team itu telah menakluk Litar Antarabangsa Chang, Buriram apabila menjuarai Perlumbaan 1 kelas ASB1000 pada saingan Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019.

Rentak konsisten yang dipamerkannya pada sesi latihan bebas semalam diteruskan dalam perlumbaan sebenar hari ini, sekali gus membawa tuah bagi membolehkannya bergelar juara.

Pada perlumbaan 13 pusingan di litar sepanjang 4.5 kilometer itu, Azlan menamatkan saingan dengan catatan masa keseluruhan 21:07.540 dengan kepantasan maksimum 289.0 kilometer sejam.

Sepanjang perlumbaan tersebut, Azlan nampak begitu selesa serta yakin dan setiap selekoh ditawan dengan sempurna.

Jentera yang ditunggangnya, BMW S1000 RR juga berada pada prestasi terbaik selepas krew pasukannya berjaya melakukan pelarasan yang menepati gaya tunggangan Azlan.

Lebih menarik, kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada bekas pelumba Moto2 negara itu yang gagal melakukan penyudah podium pada aksi Pusingan 2 di The Bend Motorsports Park, Australia, April lalu.

Pada Pusingan 1 di Sepang Mac lalu, Azlan turut meraih kemenangan podium apabila muncul juara Perlumbaan 1.

Pada aksi di Australia pula, Azlan, 34 mengakui bahawa dia sengaja melepaskan peluang untuk mencatat kemenangan gara-gara berlaku masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Hari ini, semuanya berjalan dengan baik. Keadaan jentera juga banyak membantu prestasi saya selain strategi untuk tidak membenarkan pencabar lain memimpin perlumbaan.

“Ini merupakan permulaan yang baik dan kemenangan ini sudah pastinya hasil kerja keras semua pasukan yang telah melakukan pelarasan terbaik untuk jentera kami.

“Saya berharap momentum cemerlang ini akan berterusan bagi menghadapi satu lagi cabaran esok iaitu Perlumbaan 2,” jelas Azlan.

Rakan senegaranya, Md Zaqhwan Zaidi yang membawa cabaran pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa keseluruhan 21:08.165s.

Pelumba tuan rumah, Apiwath Wongthanonanon berada di tempat ketiga dengan catatan masa 21:08.458s.

Juara Pusingan 2 lalu, Broc Parkes dari Australia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala rakannya, Bryan Staring di tempat ketujuh.

Esok, mereka akan sekali lagi beradu tenaga untuk membuat perhitungan dalam Perlumbaan 2.

Bagi kelas SS600 pula, harapan pelumba Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin untuk menghalang pelumba tuan rumah bergelar juara berakhir dengan kegagalan.

Kasma yang dilihat berpeluang untuk berada di podium kemenangan terpaksa menelan rasa kecewa kerana dia sekadar berada di tempat keempat.

Walaupun telah beberapa kali memimpin perlumbaan 12 pusingan itu, namun strateginya memakan diri sendiri kerana telah membuka ruang kepada pelumba lain memintasnya.

Pelumba Thailand yang juga pendahulu keseluruhan kelas SS600, Peerapong Boonlert juga bijak mencuri ruang untuk menamatkan saingan di tempat pertama manakala Mohamad Adam Mohd. Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) tiba-tiba muncul untuk menempatkan dirinya di kedudukan kedua.

Peerapong menamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa keseluruhan 20:48.186s manakala Adam melakukan catatan 20:55.344s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Md. Ramdan Rosli dengan masa 20:55.727s.

Esok mereka masih ada satu lagi perlumbaan untuk diharungi dan misi untuk menyekat penguasaan Peerapong akan diteruskan.

 

KEPUTUSAN

Perlumbaan 1 SS600 (5 teratas)

Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 20:48.186s

Muhamad Adam Mohd. Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing Team – 20:55.344s

Md. Ramdan Rosli (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team -20:55.727s

Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia -20:55.997s

Andi Farid Izdihar (INA) ASTRA Honda Racing Team – 20:56438s

 

Perlumbaan 1 ASB1000

Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 21:07.540s

Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with SHOWA – 21:08.165s

Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 21:08.458s

Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 21:09.038s

Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 21:09.434s