fbpx

FARISH SEDIA KE SEPANG SELATAN

Farish Iqmal dari Honda KC Racing mengharapkan prestasi lebih baik untuk Pusingan 3 di Litar Sepang Selatan pada 11-12 Jun nanti

Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing mengharapkan prestasi lebih baik untuk Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung di Litar Sepang Selatan pada 11-12 Jun nanti.

Pada pusingan yang lalu, Farish telah menampilkan kemahirannya dalam pengendalian jentera Honda di litar teknikal dalam kategori Wira KBS. Walaupun berdepan dengan trio pasukan lawan, aksi dan kemahiran teknikal yang dimilikinya memastikan beliau menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Bagi pelumba asal Johor ini, Litar Sepang Selatan dijangka menjadi satu cabaran besar baginya berdasarkan rekod perlumbaan musim lalu. Farish berjaya menamatkan dalam kelompok lima terbaik pada pusingan pembukaan namun kurang bernasib baik apabila tidak dapat menamatkan perlumbaan pada Pusingan 9 manakala pada perlumbaan penutup beliau menduduki tempat ke-12. Walaupun begitu, ia tidak melunturkan semangat pelumba ini untuk memperbaiki rekod peribadi beliau di litar tersebut.

Menurut beliau, “Bagi perlumbaan yang akan datang, saya menambahkan latihan kecergasan fizikal serta penambahbaikan cara pengendalian jentera.”

“Cabaran utama saya adalah pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing. Namun begitu, saya akan fokus dan mengumpul mata sebanyak mungkin.”

Pengurus pasukan Honda KC Racing, Wan Rosli bin W. Mohamad berkata, “Bagi pusingan yang akan datang, kami akan membuat persediaan yang sewajarnya dan cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik.”

“Kami yakin dengan pelumba-pelumba kami dan mereka boleh bersaing rapat dengan pelumba-pelumba lain.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , , ,