fbpx

FARISH, JUARA WIRA KBS


Pusingan kesepuluh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Stadium Baru Kawan hari ini. Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing menyambut kemenangan dan kejuaraan bagi kategori Wira KBS.

Di sesi kelayakan yang telah berlangsung semalam, ketiga-tiga pelumba Bad Lab Honda KC Racing menyambar kedudukan barisan pertama di grid dengan Farish Iqmal di kedudukan pertama diiktui oleh Md Akif dan Adib Hareez masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga. 

Sesi perlumbaan berlangsung pada petang tadi dan telah menyaksikan persembahan yang hebat daripada Farish Iqmal yang dengan pantas mengambil kedudukan P1 diikuti oleh Iqram Danish di P2 dan Md Akif di P3. Di lap kedua, Adib Arsyad mencari peluang dan berjaya memintas Md Akif. Sementara itu, Syahmi Aiman berada di P4 manakala, Adib Hareez yang bermula di petak grid ketiga mengambil P5. Di lap ketiga, bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan untuk sementara waktu.

Perlumbaan bermula kembali dengan 6-lap. Farish tidak melengahkan masa dan terus ke P1 dengan pelumba sepasukan Iqram Danish dan Adib Arsyad di belakangnya. Iqram Danish tidak kurang hebat dan memintas Farish di lap ke-2. Berbaki 2 lap, Farish yang tidak berputus asa memintas Adib dari dalam. Md Akif yang berada di P4 berjaya ke P3. Di lap terakhir, Farish mengekalkan momentumnya dan memberikan persembahan terbaiknya sebelum ke garisan penamat sebagai pemenang pusingan kesepuluh dengan catatan masa 8’22:650s dan juga Juara kategori Wira KBS.

Menurut Farish Iqmal, “Pertama sekali, saya amat gembira dengan kejayaan saya. Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya yang selama ini telah membuat persediaan yang terbaik sepanjang musim ini. Terima kasih juga kepada penyokong-penyokong saya yang tidak telah menaruh harapan tinggi terhadap saya. Pada waktu perlumbaan tadi, saya cuba mengekalkan momentum saya. Selepas bendera merah tadi, saya hanya fokus untuk mendapat kedudukan di podium. Walaupun Adib memberikan tekanan kepada saya, saya tidak putus asa dan akhirnya berjaya.”

Di tempat kedua bagi perlumbaan pusingan kesepuluh adalah Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa 8’23:028s. Di tempat ketiga pula adalah Md Akif Abdullah dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 8’24:430s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,