fbpx

FARISH AKAN TINGKATKAN USAHA

Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas petang tadi di sesi kelayakan bagi pusingan keenam, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang telah berlangsung di Litar Teluk Intan.

Di sesi latihan bebas 1 yang berlangsung pada waktu pagi tadi, Emil dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mencatatkan masa terpantas pada 52’541s. Di tempat kedua terpantas adalah Lufti Shah dari pasukan Brothers 7 Tech Racing dengan catatan masa 53’185s diikuti oleh Iman Fahmi dari pasukan Tekhne Yamaha dengan catatan masa terpantasnya pada 53’560s. Di sesi latihan bebas 2 pula, Farish Iqmal mencatatkan masa terpantas pada 51’267s diikuti oleh Emil dengan catatan masa 51’267s dan Adib Hareez dari Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 51’376s.

Di sesi kelayakan pula, Farish Iqmal memperbaiki catatan masanya dan tampil dengan masa yang lebih baik pada 51’069s. Pada tahun 2019, di sesi kelayakan yang berlangsung di litar ini, Farish telah beraksi di kategori Honda Dash 125 Challenge di mana beliau mencatatkan masa terdua terpantas pada 1’00:573s. Di perlumbaan akhir, beliau mendapat tempat kedua. Ini jelas menunjukkan bahawa Farish agak memahami litar ini dan walaupun tidak berlumba selama tiga tahun, beliau masih mampu menguasai litar ini dengan catatan masa yang baik.


Menurut Farish, “Pada permulaan, saya agak susah mencari setup jentera yang terbaik untuk litar ini. Jadi pada mulanya, saya cuba biasakan diri dan kemudian saya lebihkan lagi usaha untuk mendapat masa yang lebih baik. Saya berharap kedudukan pertama di grid akan membantu saya mencapai keputusan yang baik di sesi perlumbaan akhir nanti.”

Rakan sepasukannya Adib Hareez mencatatkan masa kedua terpantas pada 51’241s.

Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mencatatkan masa ketiga terpantas pada 51’295s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook