fbpx

AZROY KUKUHKAN STAMINA UNTUK PUSINGAN SETERUSNYA


Pusingan Keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan membawa semangat kejuaraan kembali ke Litar Teluk Intan pada hujung minggu ini. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team akan fokus dalam membina stamina bagi pusingan yang akan datang untuk menguasai kedudukan yang baik dalam kategori CP150.

Azroy yang kini menduduki tempat kedua secara keseluruhan telah tampil dengan aksi yang hebat pada pusingan lepas yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu dan meraih tempat pertama. Beliau yang telah menaiki podium sebanyak tiga kali sepanjang musim ini telah berjaya mengumpul sebanyak 79 mata dan hanya dua mata kurang daripada pelumba di tangga pertama secara keseluruhan.

Kejuaraan Cub Prix yang akan berlangsung di Litar Teluk Intan setelah empat tahun sudah pasti akan memeriahkan lagi suasana lebih-lebih lagi dengan cabaran di antara pelumba-pelumba CP150 yang akan kembali beraksi setelah sekian lama. Di perlumbaan pada tahun 2019, Azroy telah menamatkan perlumbaan hanya di tempat kelapan. Tahun ini sudah pasti berbeza bagi Azroy tambahan pula dengan pengalaman yang telah ditimba sebagai seorang pelumba yang berkemahiran tinggi dan berkaliber.

Menurut Azroy, “Di perlumbaan lepas, cabaran memang ada. Seperti biasa bila sampai di trek, memang saya sudah tahu siapa yang akan “fight” di depan. Kalau bukan Afif, Kasma. Oleh itu, saya cuba sedaya upaya untuk berada di hadapan mereka. Rezeki saya pada hari itu, saya dapat menang. Sekarang, fokus adalah untuk perlumbaan yang akan datang. Last berlumba di trek tersebut adalah pada tahun 2019. Masa itu, saya hanya tamat perlumbaan di tempat kelapan. Saya kurang gemar litar yang ada u-turn sebenarnya. Oleh itu, untuk perlumbaan akan datang, saya sasarkan kedudukan di tempat lima keatas. Cukup untuk saya!”

Ulasan Azroy mengenai litar teknikal dan litar pantas, “Perbezaan di antara kedua-dua litar ini adalah “high-speed corner”. Saya dah biasa berlumba di litar antarabangsa. Ia memerlukan keberanian yang cukup untuk mengambil selekoh di “high-speed corner”. Kalau dibandingkan dengan litar teknikal, prinsipnya mudah. Brek dalam, berhenti dan jalan di selekoh. Untuk pusingan yang akan datang, seperti biasa, team akan bekerja keras untuk memastikan jentera dalam keadaan yang sempurana. Saya pula sentiasa memastikan tahap stamina saya adalah dalam keadaan yang bagus.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,