Dengan dua lagi pusingan, Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan Idemitsu Honda Yam Racing akan bersaing berbekalkan semangat pada pusingan kesembilan, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa Sepang (Selatan) pada hujung minggu ini.
Pada musim ini, peminat-peminat kategori Wira KBS telah menyaksikan perlumbaan yang sengit di antara pelumba-pelumba yang mantap. Di antara mereka adalah Farid yang tidak kurang hebat memberikan persembahan yang setanding dengan mereka.
Pelumba berumur 17 tahun ini yang berasal dari Selangor menjejakkan kakinya di arena Cub Prix dalam kategori Honda Dash 125 Challenge. Pada tahun 2019, beliau telah meraih kejuaraan dengan lapan kemenangan dan satu podium dengan jumlah 226 mata secara keseluruhan bagi musim tersebut. Dengan kemenangannya, beliau memulakan aksinya di kategori Wira KBS pada musim seterusnya.
Tahun pertamanya di kategori Wira KBS tidak begitu memuaskan. Beliau hanya mendapat tempat ketiga-belas secara keseluruhan. Tetapi, Farid telah meneruskan perjuangannya untuk meningkatkan prestasi dan pada musim lepas, beliau telah menaiki podium sekali dan menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan. Pada musim ini, usaha gigih Farid terserlah apabila beliau berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali termasuk satu kemenangan pada pusingan kelapan lepas.
Menurut Farid, “Untuk perlumbaan pusingan kesembilan ini, saya akan buat sehabis baik dan tidak putus angin di kelompok hadapan kerana Litar Sepang ini litar “high-speed” maka saya perlu kekalkan perlumbaan di kelompok besar. Bagi jentera, kami telah melakukan banyak perubahan untuk mendapatkan “setup” yang betul supaya enjin tersebut berada dalam tahap yang optimum.”
“Secara keseluruhan, mungkin saya belum mencapai “target” saya tetapi saya bersyukur kerana saya sendiri telah melihat peningkatan dalam prestasi saya bagi musim ini. Walaupun banyak yang berlaku di perlumbaan-perlumbaan sebelum ini, saya telah banyak belajar di setiap pusingan. Apa saya saya belajar pada pusingan-pusingan lepas itulah yang saya bawa bersama saya ke pusingan seterusnya. Kita semakin hampir ke penghujung musim. Walau bagaimanapun, saya masih belum buat pelan untuk tahun hadapan. Buat masa kini, saya hanya fokus untuk tamatkan perlumbaan di kedudukan yang baik secara keseluruhan.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook