FARID PERTAHAN TAkHTA DI JEMPOL

Pertarungan sengit sehingga ke pusingan terakhir mewarnai aksi kategori CP125 pada Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan apabila Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING berjaya mempertahankan kemenangan musim lepas di litar sama dengan catatan masa 12’02.685s.

Selepas mendominasi sebahagian besar perlumbaan, Farid terpaksa berdepan tekanan hebat daripada pemenang Shoot Out, Md Khairi Asyraf Mahmood dari IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, yang berjaya merapatkan jurang dan beberapa kali mencabar kedudukan pendahulu pada penghujung perlumbaan. Namun, insiden dramatik pada pusingan ke-15 menyaksikan Khairi bersama Md Syamil Amsyar M Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING dan Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM terjatuh ketika perebutan kelompok hadapan, sekali gus membuka laluan buat Farid melakar kemenangan sulungnya musim ini.

Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM memanfaatkan situasi tersebut untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 12’03.086s, manakala rakan sepasukannya, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, melengkapkan podium selepas aksi kebangkitan mengagumkan dari kelompok belakang dengan masa 12’04.586s.

Perlumbaan bermula dengan insiden awal apabila Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR terjatuh sejurus selepas perlumbaan dimulakan. Manakala Farid memimpin perlumbaan di hadapan rakan sepasukan, Syamil, diikuti Akif, Idlan dan Adib Hareez Hazwat dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Khairi pula hanya berada di kedudukan keenam.

Memasuki pusingan ketiga, Khairi mula mempamerkan rentak sebenar apabila mencatat masa terpantas 47.863s untuk memintas Hareez dan mula menghampiri kelompok hadapan. Menjelang pusingan kelapan, Khairi sudah melonjak ke kedudukan kedua di belakang Farid, sementara persaingan lima pelumba terdepan terus berubah-ubah.

Aksi semakin memuncak pada pusingan ke-12 apabila Khairi beberapa kali mencuba memintas Farid, namun terus dinafikan. Pada pusingan ke-13, Khairi akhirnya berjaya mengambil alih pendahuluan di selekoh 2, tetapi Farid membalas serta-merta pada pusingan berikutnya dengan memintas semula di selekoh yang sama.

Ketika perebutan kemenangan memasuki kemuncak pada pusingan terakhir, insiden membabitkan Khairi, Syamil dan Akif di selekoh 3 mengubah keseluruhan keputusan perlumbaan. Farid kekal tenang untuk melepasi garisan penamat sebagai pemenang, manakala Idlan dan Farish masing-masing mengisi dua lagi kedudukan podium.

Farid berkata, “Sejak sebelum perlumbaan bermula lagi, sasaran saya memang untuk mendapatkan pendahuluan sebaik sahaja perlumbaan dimulakan kerana saya tahu Khairi pasti akan memberikan saingan yang sengit dan tidak akan membiarkan saya mendahului dengan mudah. Sepanjang saya berada di hadapan, saya sentiasa memerhati papan kedudukan untuk melihat jarak dengan pelumba di belakang. Pada mulanya saya nampak nombor satu dan dua dengan Syamil, tetapi apabila perlumbaan berbaki beberapa pusingan sahaja, saya sedar Syamil sudah tiada di belakang, lalu saya menoleh dan nampak Khairi semakin menghampiri. Ketika itu saya sudah bersedia untuk menghadapi serangannya. Kami berdua berentap habis-habisan sehingga akhir. Saya akui Khairi ialah seorang pelumba yang sangat berpengalaman, namun saya juga cukup yakin dengan kemampuan sendiri di litar ini kerana saya tahu saya juga ada kekuatan di sini. Saya terus memberikan segala-galanya sehingga tamat perlumbaan, dan Alhamdulillah, rezeki kemenangan akhirnya menjadi milik saya. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan. Sepanjang minggu ini, semua mekanik dan kru telah bekerja keras demi memastikan jentera kami berada pada tahap terbaik. Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil usaha dan pengorbanan seluruh pasukan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka semua.”

TOP 5 FASTEST – RACE
1. MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (12’02.685s)
2. MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (12’03.086s)
3. MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (12’04.586s)
4. ADIB HAREEZ HAZWAT – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (12’07.668s)
5. RAIYAN KHARDANEE M SANUSI – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (12’09.377s)