EMIL TERUSKAN RENTAK KEMENANGAN

Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing sekali lagi mencipta kemenangan di Litar Jasin bagi kategori Wira KBS untuk pusingan ketiga, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix setelah beliau melakar kemenangan pertama di Jempol pada pusingan yang lalu.


Selepas sesi kelayakan pada petang semalam, Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing telah mengambil tempat pertama di grid semasa perlumbaan akhir petang tadi. Di tempat kedua adalah Adib Hareez Hazwat dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dan di tempat ketiga pula adalah Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing.

Keadaan cuaca pada petang tadi agak baik dan pelumba-pelumba Wira KBS telah memulakan perlumbaan dengan rentak yang hebat. Adib dengan pantas mengorak langkah dan mengambil kedudukan pertama di selekoh pertama. Beliau kemudiannya meningkatkan kelajuan dan membuka jarak dengan Amirun yang berada di kedudukan kedua. Selama tiga lap, Adib mendominasi litar sebelum beliau di pintas oleh Amirun. Emil yang pada ketika itu berada di kedudukan ketiga muncul di P2 dan mula memberikan tekanan kepada Amirun.

Di pertengahan perlumbaan, Emil berjaya memintas Amirun. Adib yang mendahului perlumbaan tersebut tidak mampu mempertahankan kedudukannya. Al Syakir pula mengambil kedudukan P3. Sepanjang perlumbaan, Emil tampak yakin dan meneruskan perlumbaan secara konsisten. Walaupun Amirun terus mencuba untuk memintas, Emil kekal mantap di kedudukan P1. Menjelang lap ke-10, Emil sudahpun jauh meninggalkan Amirun dengan jurang sebanyak 1.616s.

Emil meneruskan perlumbaannya ke garisan penamat dan mencatatkan masa terpantas bagi sesi 12-lap dengan catatan masa 10’42:453s.

Menurut Emil, “Semasa perlumbaan tadi, kami hanya berlumba mengikut “pace” kami tersendiri. Ramai yang tahu ini adalah litar baharu namun pelumba tahu cara untuk mengatasi cabaran. Saya berterima kasih kepada pasukan saya dan keluarga untuk sokongan dan galakan yang telah diberikan kepada saya dan syukur, saya berjaya di tangga pertama.” Tempat kedua dan ketiga di ambil oleh pelumba sepasukan iaitu Amirun Haziq Johan dan Md Al Syakir Zufayri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, masing-masing dengan catatan masa 10’43:876s dan 10’50:909s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook