fbpx

AKID TERPANTAS SESI KELAYAKAN


Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix kembali ke pekarangan Bandar Jasin Bestari, Melaka hari ini selepas aksi terakhirnya pada tahun 2019. Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing telah memaparkan kelebihannya apabila beliau mendominasi litar di sesi kelayakan bagi kategori CP150 yang berlangsung pada petang ini.

Pagi Sabtu bermula dengan perasaan yang agak berbeza bagi penduduk di sekitar kawasan trek dengan aksi para pelumba dalam sesi latihan bebas.  Akid mencatatkan masa terpantas pada 49’587s diikuti oleh Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada 49’832s dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo pada 50’092s.

Bagi sesi kelayakan yang berlangsung pada petang tadi selepas hujan lebat, pelumba yang berasal dari Kuala Lumpur ini telah memaparkan aksi yang hebat apabila beliau mencatatkan masa terpantas pada 49’254s. Litar Jasin sepanjang 1.0795km ini merupakan litar yang agak teknikal dengan 8 selekoh yang agak mencabar. Namun begitu, beliau telah menunjukkan kemahiran pengendalian yang mantap. Pada tahun 2019, Akid hanya berjaya di tempat ketujuh pada perlumbaan akhir di litar ini.

Menurut Akid, “Litar Jasin ini agak teknikal lebih-lebih lagi selepas hujan lebat tadi. Namun begitu, saya agak berpuas hati dengan pencapaian hari ini. Pelumba-pelumba CP150 memang agak hebat dan pada pendapat saya, persaingan esok sudah pasti sengit. Pada tahun 2019, memang sukar untuk saya dapat “top 5” tetapi saya akan buat yang terbaik mungkin dan berharap untuk menaiki podium pada pusingan ini.”

Rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran  pula mencatatkan masa kedua terpantas di sesi kelayakan dengan catatan masa 49’281s. Di tempat ketiga terpantas adalah Kasma dengan catatan masa 49’580s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,