fbpx

EMIL CATAT KEMENANGAN KETIGA

Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 berjaya mendominasi perlumbaan akhir Pusingan 7 di Litar Pemotoran Terengganu bagi kategori Wira KBS. Ia merupakan kemenangan kali ketiga pada musim ini bagi pelumba kelahiran Selangor itu.

Perlumbaan hari ini bermula dengan Adib Hareez dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing Team di petak grid pertama selepas mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan semalam. Di petak grid kedua adalah rakan sepasukan iaitu Farish Iqmal diikuti oleh Emil dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing di petak grid ketiga.

Sejurus bermulanya perlumbaan, Adib dengan pantas mengambil kedudukan P1 diikuti oleh Emil di P2. Sebelum berakhirnya lap pertama, Emil berjaya memintas Adib. Malangnya, Adib tergelincir di selekoh pertama dan rakan sepasukannya mengambil peluang di kedudukan P2. Di P3, Amirun cuba mencari peluang untuk memintas tetapi kedua-dua pelumba di hadapannya hebat mempertahankan kedudukan mereka. Iqram Danish pada ketika itu cuba menutup jurang dari P4.

Berbaki 6 lap, Emil tampil hebat di P1 dengan Farish di belakang dengan jurang 0.166s. Berbaki 4 lap, Amirun membuka langkah dan mengambil kesempatan untuk memintas Farish di selekoh 1. Di lap ke-9, Amirun mula menggunakan strateginya untuk menutup jurang. Namun begitu, Emil tidak memberikan peluang. Di lap terakhir, Amirun mencuba lagi untuk memintas Emil tetapi Emil mengelak sebarang kesilapan yang akan membuka peluang kepada Amirun. Di selekoh terakhir, Emil memecut ke garisan penamat dengan catatan masa 10’37:570s.

Menurut Emil, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bersama saya untuk perlumbaan minggu ini. Minggu ini agak mencabar bagi saya terutamanya untuk mencari “setup” jentera yang bagus. Di perlumbaan tadi, saya cuba mengekalkan momentum sepanjang perlumbaan dan saya amat berterima kasih dengan pencapaian saya pada hari ini.”

Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mengambil tempat kedua dengan catatan masa 10’37:614s.

Md Farish Iqmal mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 10’37:761s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook