fbpx

ADIE KEKALKAN RENTAK KEMENANGAN

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Adie Putra Sukarno sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila melakar kemenangan di Litar Permotoran Terengganu. Kemenangan itu merupakan kemenangan kedua berturut-turut setelah beliau melakukannya di Teluk Intan pada pusingan yang lalu.

Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung pada pagi ini, Khairi Ashraf dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing team mencatatkan masa terpantas pada 50’773s diikuti oleh rakan sepasukannya Shafiq Ezzariq di kedudukan kedua dengan catatan masa 50’795s. Adie Putra mengambil kedudukan ketiga di grid dengan catatan masa terpantas pada 50’999s.

Bermulanya perlumbaan, Adie dengan pantas mengambil kedudukan pertama diikuti oleh Fareez di P2. Sebelum berakhirnya lap tersebut, Fareez dan rakan sepasukannya Shafiq Ezzariq memintas Adie dan masing-masing mengambil kedudukan P1 and P2. Di P4, Aliff Daniel cuba merapatkan jurang di antara Adie. Berbaki 11 lap, Adie yang tidak putus asa memintas Shafiq Ezzariq di selekoh pertama sebelum memintas Fareez dari dalam untuk mengambil kedudukan P1. Fareez hilang kawalan dan juga kedudukannya.

Berbaki 8 lap, Aliff berjaya menutup jurang di antara Shafiq dan memintasnya. Adie masih hebat mempertahankan kedudukannya di P1. Aliff kemudiannya mula memberikan tekanan kepada Adie dan memintasnya buat seketika sebelum Adie kembali ke P1. Shafiq Ezzariq di P3 masih tidak mendapat peluang untuk ke depan. Berbaki 3 lap, Aliff hanya 0.077s daripada Adie. Di lap ke-13, Aliff tergelincir dan ini memberikan peluang untuk Shafiq Ezzariq mara ke P2. DI lap terakhir, Adie meneruskan momentumnya dengan jurang 0.693s dari Shafiq Ezzariq sebelum meraih kemenangan dengan catatan masa 12’55:820s.

Menurut Adie, “Hari ini, saya memang dicabar. Perlumbaan agak sengit lebih-lebih lagi dengan pelumba-pelumba lain yang agak besar berbanding dengan saya. Bagi saya, perlumbaan ini agresif. Saya bermula di petak grid ketiga maka memang susah untuk tutup ruang di antara pelumba di bahagian kiri. Tetapi, Syukur saya masih sempat juga. Saya suka selekoh terakhir di trek ini kerana ia memberikan saya kelebihan untuk ke selekoh pertama dengan cepat. Saya tidak jangkakan kemenangan ini tetapi saya sangat gembira. Saya memang buat yang terbaik.”

Di tempat kedua adalah Md Shafiq Ezzariq dengan catatan masa 12’56:577s.

Md Aiman Tahiruddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 12’56:789s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook