Nazirul Izzat Bahauddin berhasrat untuk menghadiahkan 25 mata penuh buat pasukannya PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada perlumbaan CP150 Pusingan 5 dan 6 nanti. Perlumbaan yang dijadualkan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada hujung minggu ini memberi keyakinan buat Nazirul untuk meraih kemenangan kerana litar ini menyimpan kisah manis buat pelumba ini.
“Podium pertama saya dalam kelas CP150 ketika penampilan pertama dalam kelas tersebut adalah di Litar Permotoran Terengganu. Jadi harapan saya adalah untuk menghadiahkan kemenangan kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada minggu ini. Saya yakin pasukan saya akan menyediakan jentera yang terbaik untuk bersaing dengan pasukan lain pada perlumbaan itu nanti.”, kata beliau yang kini mengumpul 45 mata di tempat kedua kedudukan keseluruhan pelumba CP150.
Mengimbas kembali penampilan sulung tersebut pada musim 2019, pelumba asal Negeri Sembilan ini mengejutkan pelumba-pelumba senior dalam kelas tersebut dengan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Walaupun tidak beraksi di litar ini pada musim lalu akibat kecedaraan yang dialami ketika Pusingan 3 beliau masih optimis untuk menghadiahkan kemenangan buat pasukannya.
Jika hasrat ini berjaya dicapai, ia merupakan kemenangan dan podium pertama pasukan tersebut dalam kelas CP150 sejak dua tahun Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia bertandang ke litar ini. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ayoi merupakan antara calon untuk mencabar kejuaraan kelas tertinggi tersebut musim ini. Beliau kini berada pada prestasi terbaik setelah melakar dua podium termasuk satu kemenangan selepas 4 pusingan dilangsungkan. Bersandarkan prestasi semasa beliau dilihat mampu merealisasikan kemenangan tersebut.
Kemenangan tersebut sangat penting buat pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang kini hanya dibezakan dengan 8 mata pendahulu keseluruhan pasukan CP150.
Saingan Pusingan 5 dan 6 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada 1 hingga 3 Oktober pastinya amat dinantikan oleh semua kerana ini kali pertama Cub Prix ‘keluar’ dari Litar Sepang setelah 8 pusingan berturut-turut sejak dari musim lepas akibat kekangan disebabkan wabak Covid-19.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook