fbpx

DUO KC RACING KUASAI WIRA KBS


Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing memberikan persembahan terbaik sebelum meraih kemenangan bagi kategori Wira KBS yang telah berlangsung di Litar Teluk Intan dalam Pusingan Keenam, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Di sesi kelayakan semalam, Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas sekaligus mengambil tempat pertama di grid untuk perlumbaan hari ini. Rakan sepasukannya Adib Hareez mencatatkan masa kedua terpantas diikuti oleh Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing di tempat ketiga terpantas.

Di sesi perlumbaan akhir tadi, Adib Hareez dengan pantas mengambil kedudukan P1 di selekoh pertama dengan diiringi oleh Raiyan di P2 and Farish di P3. Sebelum berakhirnya lap ketiga, Farish membuka langkah dan mengambil kedudukan P2. Raiyan pula di pintas oleh Iqram Danish yang kemudiannya meneruskan perlumbaan di kedudukan P3. Berbaki 6 lap, Adib yang masih di P1 mengekalkan momentumnya walaupun rakan sepasukan, Farish memberikan tekanan dengan jurang 1.17s.

Dalam pada itu, Emil yang berada di kelompok belakang berjaya menutup jurang di antara pelumba-pelumba di hadapannya. Di lap ke-12, Emil muncul ke P4. Di kelompok hadapan, Farish memintas rakannya Adib dan mula mendominasi litar. Di lap terakhir, Adib teruskan perjuangannya dengan Farish namun Farish tidak mengalah. Beliau menuju ke garisan penamat dengan jurang 0.233s sebelum meraih kemenangan dengan catatan masa 10’20:167s.

Menurut Farish, “Terima kasih kepada pasukan saya yang telah membuat persediaan yang baik untuk perlumbaan ini pada hujung minggu in. Pada permulaan, saya ada buat silap sedikit di selekoh pertama. Tetapi, saya cuba mengatasi kesilapan tersebut. Rakan sepasukan saya memang hebat dan walaupun saya memberikan tekanan, pada permulaannya memang sukar untuk memintas. Nasib saya baik sebab saya sempat memintasnya di lap-lap terakhir dan berjaya tamatkan perlumbaan di tempat pertama.”

Di tempat kedua adalah Md Adib Hareez dengan catatan masa 10’20:400s.

Di tempat ketiga adalah Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing Team dengan catatan 10’25:756s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,