Menjelang Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, pelumba CP150 YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS, Md Faiz Zekri Sabri, bertekad untuk mempertingkatkan prestasi demi mengekalkan kedudukannya dalam ranking keseluruhan.
Selepas enam pusingan, Faiz yang kini mengumpul 52 mata, berada di tangga kelima keseluruhan kejuaraan. Dengan matlamat untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik, Faiz menyedari bahawa cabaran ini bukanlah sesuatu yang mudah, terutama mempunyai jadual yang padat.
“Matlamat utama saya adalah untuk kekal dalam ‘Top 5’. Jika ada rezeki, saya akan berusaha untuk mencapai kedudukan dalam ‘Top 3’. Ini adalah impian setiap pelumba, dan saya akan berusaha keras untuk mencapainya,” kata Faiz.
Faiz juga mengakui bahawa salah satu cabaran utama adalah menguruskan jadual harian yang sangat padat, yang menyukarkan usaha untuk mengekalkan tahap kecergasan optimum. Namun, dia terus berusaha untuk mengatasi halangan ini dan memastikan kecergasan berada pada tahap tertinggi.
Berbaki empat pusingan sebelum kedudukan keseluruhan ditentukan berdasarkan mata yang dikumpulkan sepanjang musim, Faiz jelas bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk merealisasikan impiannya berada dalam kelompok lima pelumba terbaik.
“Persiapan dari segi kecergasan fizikal dan mental sangat penting. Saya sedang memberi tumpuan penuh kepada kedua-dua aspek ini untuk memastikan saya berada dalam keadaan terbaik. Sasaran utama saya adalah untuk mengekalkan prestasi semasa dan berusaha sebaik mungkin untuk terus bersaing dengan baik pada pusingan kali ini,” tambah Faiz.
Litar Tangkak, yang dikenali sebagai litar teknikal, menawarkan cabaran besar dan memerlukan strategi yang terperinci. “Litar ini memerlukan perancangan yang teliti untuk menghadapinya. Saya telah memperoleh banyak pengalaman berharga melalui persaingan bersama pelumba-pelumba berpengalaman. Untuk pusingan kali ini, saya dan rakan sepasukan akan berusaha semaksimum mungkin dan merancang strategi yang mantap untuk mencapai keputusan terbaik,” jelas Faiz.