fbpx

SYAMIL SASAR KUASAI TANGKAK

Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING sedia menggegar Litar Lumba Tangkak!

Kembali membawa cabaran ke Litar Lumba Tangkak, Syamil tidak mahu mensia-siakan peluang kedua untuk perbaiki prestasinya pada Pusingan 2 di mana dia raih P2 dalam perlumbaan kategori CP125.

Tidak menafikan kemampuan pelumba lain yang bakal memberi persaingan sengit, ia tidak menjadi penghalang Syamil dalam memasang hasrat untuk memburu kemenangan pada pusingan ini.

Syamil berkata, “Dari Pusingan 2 di Tangkak, saya belajar pentingnya strategi yang baik untuk memimpin perlumbaan. Kali ini, saya akan menerapkan strategi yang lebih baik untuk memastikan saya dapat menduduki tempat pertama dan menyelesaikan perlumbaan dengan cemerlang.”

Syamil turut berkongsi, “Saya telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Saya memastikan setiap aspek persiapan, termasuk latihan intensif dan pemulihan, dilakukan dengan penuh komitmen untuk menghadapi perlumbaan ini. Target utama saya adalah meraih pole position dan tempat pertama di podium. Walaupun terdapat beberapa isu pada jentera saya pada pusingan sebelumnya, kini jentera saya berada dalam keadaan yang sangat baik berkat setup yang optimal dari pasukan.”

Syamil perlu mencabar pesaingnya, Md Irfan Haykhal Amidi dari HONDA KC RACING yang merupakan pemenang pada Pusingan 2. Syamil berkongsi, “Buat masa ini, fokus saya adalah untuk memaksimumkan kedudukan saya dan memperbaiki catatan masa. Walaupun Irfan adalah pesaing kuat, saya akan memberi yang terbaik dan memanfaatkan setiap peluang yang ada.”

Syamil turut berkongsi pendapatnya terhadap Litar Lumba angkak, “Litar Tangkak mempunyai cabaran tersendiri dengan banyak sekatan dan perubahan kelajuan. Walau bagaimanapun, ia adalah salah satu litar kegemaran saya kerana saya sering berlatih di sana, yang memberi saya kelebihan tambahan untuk menghadapi perlumbaan.”

“Cabaran utama adalah untuk mengekalkan kedudukan sebagai juara keseluruhan tanpa sebarang gangguan. Ini memerlukan konsistensi dalam prestasi dan pemantauan yang teliti terhadap setiap aspek persiapan perlumbaan,” tambah Syamil.