fbpx

DEDIKASI BUAT ARWAH AYAH – NAZIRUL

“Kemenangan ini amat bermakna bagi saya. Kemenangan kedua bagi musim ini selepas menang tempat pertama di ARRC, saya bagi kemenangan ini kepada arwah ayah saya…” luahan Juara pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS Cub Prix 2022, Nazirul Izzat Bahauddin mendedikasikan kemenanganya kepada arwah bapa yang meninggal akibat COVID-19 Mac  lalu.

Seminggu lagi sebelum bukanya tirai musim 2022, pelumba berusia 22 itu dikejutkan dengan kematian bapa yang menjadi tulang belakangnya sepanjang karier beliau sebagai pelumba sejak usia 13 tahun.

Masih berduka dengan kehilangan bapa tercinta, Nazirul terpaksa kuatkan semangatnya untuk memulakan persaingan di pusingan edisi ke 29 itu.

“Saya agak terkejut dalam masa satu hari itu… Ayah, tiba-tiba sakit perut tetapi pagi itu dia makan dengan kami sekeluarga, gelak-gelak, kemudian di waktu tengahari dia sakit perut. Saya hantar dia pergi hospital dan dia kena tahan di ward dan saya tunggu dari 7 petang sampai 4 pagi.

Dia masih sedar dan nampak seperti biasa tetapi tetiba doktor memaklumkan bahawa bapa kena ditidurkan sebab tekanan darah rendah selepas disahkan positif COVID-19” kata Nazirul dengan nada penuh sebak.

“Sebelum ayah ditidurkan, pesanan terakhir beliau pada saya, dia beritahu ini kepada ibu saya. Dia meminta kami meneruskan kehidupan seperti biasa walau apa jua terjadi kepadanya, terus berjaya dan bantu keluarga.

“Saya memang sedih, sangat sedih tetapi berpegang pada pesanan ayah, saya tekad untuk meneruskan perlumbaan pusingan pertama di Cub Prix. Saya kuatkan semangat dan cuba menaiki podium tetapi tidak berjaya dan mengakhiri perlumbaan di tempat keempat.”

“Selang beberapa minggu saya berlepas ke Thailand untuk saingan FIM Asia Road Racing Championship.”

Nazirul yang juga merupakan pelumba ARRC, menamatkan perlumbaan pusingan pertama dengan keputusan tidak begitu memuaskan tetapi berjaya bangkit pada pusingan kedua yang telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Pelumba Yamaha Y15 ZR yang mula mendahului perlumbaan kompetitif itu ketika lap terakhir berjaya meraih tempat pertama dengan melakukan catatan masa 15:46:582s.

Pada perlumbaan pusingan ke-3 Cub Prix pula, Nazirul yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencetuskan kebangkitan sensasi apabila menjuarai pusingan ketiga kategori CP150.

Dia yang bermula di petak ke-13 menampilkan prestasi cemerlang apabila menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 14:07:916s.

Pada pusingan pertama sebelum ini, Nazirul sekadar berada di kedudukan keempat sebelum dia berjaya menaiki podium dengan meraih tempat ketiga di pusingan kedua.

Berbaki lagi 7 pusingan bagi musim 2022, Nazirul mahu mengekalkan momentum ini sehingga akhir musim ini.

“Kata-kata terakhir ayah saya akan terpahat dalam hati saya buat selamanya. Mungkin ajal dia dah sampai. Saya redha dan saya cuma meminta semua untuk mendoakan ayah saya tenang dan aman di sana,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik.

Bagi perlumbaan pusingan ke-4 yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Jun di Litar Tangkak, Terengganu, pelumba kelahiran Negeri Sembilan itu menjangkakan saingan yang agak mecabar memandangkan litar yang penuh tenikal itu memerlukan strategi terbaik untuk mendominasinya.

“Sudah pasti semua pelumba akan turun dengan strategi masing-masing dan memberi satu saingan yang sengit. Jadi, saya akan bagi yang terbaik.

“Kami sepasukan akan tampil dengan satu pelan yang sesuai bagi jentera dan litar. Buat masa ini saya fokus kecergasaan diri dan latihan jentera.”

Nazirul ketika ini berada di kedudukan kedua dengan 54 mata secara keseluruhan selepas 3 pusingan dan di belakang pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook