Memiliki pasangan adik-beradik sama ada sebagai rakan sepasukan ataupun pelumba yang perlu ditewaskan bukanlah perkara baru dalam siri Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix sejak dulu.
Saingan edisi ke-29 turut menyaksikan penampilam sulung gandingan adik-beradik dalam dua kategori di mana kakaknya, Hijjaz Nur Kasih Mohd Zaki dalam kategori AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge manakala adik lelakinya, Haidar Nur Akmal Md Zaki dalam Honda Dash 125 Challenge.
Mereka juga merupakan anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Mohz Zaki Mohd Ali.
“Ayah ada mini bike, Kakak nak cuba tak?”
Di situlah bermulanya karier Hijjaz Nur Kasih, sebagai seorang pelumba jentera dua roda dan mula berkecimpung dalam dunia motosikal sejak umur 12 tahun lagi.
“Saya mula minat berlumba dari enam tahun sebab pernah ikut ayah ke trek perlumbaan dan ketika itu ayah bagi saya cuba ‘mini bike’. Selepas itu ketika saya berumur 12 tahun saya mula menunggang ‘poket bike’ dan saya juga sempat menyertai mini Cub Prix pada tahun 2016,” jelas Hijjaz ketika berkongsi pengalamannya.
Sejak mulanya perjalanan sebagai pelumba, Hijjaz pernah merangkul kejuaraan dalam kategori Pinky Rider sewaktu beraksi dalam saingan Mini Cub Prix.
Sementara adik lelakinya, Haidar NurAkmal mula menunjukkan minat motosikal sejak mula dibawa ke litar oleh keluarganya dan apabila menjenguk usia 6 tahun, beliau mula menunggang ‘pocket bike’.
“Minat itu memang daripada ayah sebab dia bekas pelumba Cub Prix dan juga saya nampak Jaz (Hijjaz) seronok bawa motosikal kecil. Sejak kami menunjukkan minat ayah turunkan segala ilmu yang dia miliki kepada kami.
“Ini adalah kejohanan besar pertama saya. Bila ada keluarga yang terlibat dalam arena permotoran, semangat untuk beraksi itu amat berbeza. Rasa takut pun tidak ada. Sebab ayah dan Jaz selalu beri kata-kata semangat dan mereka sangat memahami situasi seorang pelumba.
“Setiap kali selepas perlumbaan kami berdua akan selalu berkongsi pendapat dan juga tegur kesilapan kami supaya dapat memperbetulkan kelemahan kami untuk pusingan seterusnya.
“Nasihat yang Jaz selalu akan beri kepada saya – Kalau yakin buat, kalau tak yakin jangan beri tekanan kepada diri sendiri,” kata pelumba berusia 14 tahun itu yang memiliki impian besar untuk beraksi di Asia Talent Cup, ATC, suatu hari nanti.
Berbaki lagi 7 pusingan, Haidar tekad memburu mata kemenangan dalam setiap pusingan untuk muncul juara keseluruhan musim 2022.
Tambah lagi Hijjaz “Tipulah kalau tak seronok berlumba bersama-sama dengan adik. Saya harap satu hari nanti kami dapat beraksi dalam kategori yang sama”
Lebih menarik kedua-dua adik beradik ini juga berkongsi nombor jentera iaitu nombor 5 dalam kategori masing-masing.
Hijjaz masih lagi mencari rentak dalam NVX Challenge apabila keputusan di tiga pusingan awal tidak begitu memuaskan dan kini menduduki tangga ke-21 dalam carta kedudukan pelumba.
Bagi Haidar pula pretasinya semakin meningkat sejak pusingan pertama dan pelumba kelahiran negeri Selangor itu menaiki podium pada pusingan ke-3 yang berlangsung di Litar Sepang Selatan, minggu lepas.
Kedua-dua mereka cukup teruja untuk saingan seterusnya pada 24 dan 25 Jun ini di Litar Permotoran Terengganu.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook