fbpx

AFIF TERUJA BERLUMBA DI LAMAN SENDIRI

Pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2022 akan berlangsung tidak lama lagi di Litar Permotoran Terengganu dan bagi Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ, ia adalah suatu venue kegemaran baginya.

Pelumba yang lahir di Terengganu ini berkata, “Berlumba di Litar Pantai Timur sentiasa mencetuskan rasa semangat luar biasa untuk berlumba bagi saya.”

“Minggu ini saya akan berlumba di kampung saya sendiri. Setiap kali beraksi di Litar Terengganu memang ia memberi suntikan semangat yang berbeza. Jadi, saya berharap dapat membuahkan hasil yang baik. Saya sangat teruja untuk memulakan saingan minggu ini.” jelas Afif.

Kali terakhir pelumba berusia 28 itu menjejak kaki di podium kemenangan di Litar sepanjang 1.371 kilometer (km) itu adalah pada pusingan ke-5 musim 2021 apabila meraih tempat kedua dengan catatan masa 14:04.818s.

Pada Kejuaraan Cub Prix edisi ke-25 pusingan ke-7, Afif meraih tempat pertama di laman sendiri selepas melengkapkan 20 pusingan perlumbaan dengan catatan 13 minit 40.445 saat.

Sudah pastinya, Afif yang kini mendahului carta kedudukan pelumba kategori CP150 selepas tiga pusingan, akan mengharapkan keputusan positif dalam misi merampas kembali gelaran juara musim daripada juara bertahan, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Yuzy Honda Racing.

Namun, Afif tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dengan memikirkan gelaran malah mahu memberikan yang terbaik pada setiap pusingan.

“Sekarang ini saya tidak mahu fikir sangat berkenaan gelaran sebab ia akan memberi tekanan kepada diri saya dan juga pasukan saya. Jadi, saya lebih fokus untuk membawa pulang sebanyak mungkin mata berharga dari setiap pusingan dan sebolehnya cuba untuk menamatkan semua perlumbaan musim ini” jelas Afif.

Dua pusingan awal musim ini, Afif memulakan dengan langkah kanan apabila menjuarai kedua-duanya di podium pertama dengan catatan masa 14:32.412s dan 14:36.498s masing-masing.

Nasib berbeza pada pusingan ke-3, Afif sedikit tersasar dari rentak kecemerlangannya apabila mengakhiri perlumbaan di tangga ke-7.

Bagaimanapun status keseluruhan kelas perdana CP150, ia masih digenggam oleh Afif Amran yang telah mengumpulkan 59 mata selepas tiga pusingan dan tangga kedua dihuni juara pusingan ke-3, Nazirul Izzat Md Bahauddin dengan perbezaan 5 mata.

Juara bertahan Azroy Hakeem Anuar pula di tangga ke-4 dengan 29 mata selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) di pusingan pertama.

Dengan masing-masing memburu mata untuk memperkukuhkan lagi kedudukan, Afif menjangkakan satu saingan yang cukup sengit di Litar Permotoran Terenggan minggu ini.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook