fbpx

CUB PRIX MUSIM 2019 DAH MULA. 10 VENUE PERLUMBAAN YANG ANDA PERLU TAHU PADA TAHUN INI


Musim perlumbaan Cub Prix dan bermula. Sebanyak 10 venue bagi musim 2019 telahpun diumumkan baru-baru ini. Sebilangan besar venue musim 2018 kekal dalam jadual dan beberapa venue baharu turut diperkenalkan.

Saingan musim 2019 yang merupakan edisi ke-26 sejak mula diperkenalkan pasti akan lebih mendebarkan dan persoalannya venue manakah yang menjadi pilihan anda pada tahun ini? Kami kongsikan antara momen menarik sepanjang musim lepas dan sebab kenapa anda perlu terus datang saksikan Cub Prix pada tahun ini.

 

Pusingan 1 JASIN, MELAKA 23 – 24 Mac 2019

Litar Jasin mula berada dalam calendar Kejuaraan Cub Prix pada tahun 2017. Sejak mula diadakan, sambutan dan kerjasama erat terutama dari pihak Majlis Perbandaran Jasin sangat menggalakkan. Pasti anda tidak lupa dengan siri jelajah Cub Prix yang telah berkonvoi hampir ke seluruh negeri Melaka bagi mempromosikan Cub Prix Jasin.

Tahun 2019 Jasin dipilih sebagai lokasi pertama dan memandangkan kedudukannya yang terletak berhampiran jalan utama, peminat sukan permotoran terutama di sekitar Melaka dan Johor jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persaingan sengit diantara barisan pelumba-pelumba senior dan barisan pelumba pelapis negara.

 

P2 BATU KAWAN, PULAU PINANG 13 – 14 April 2019

Batu Kawan dan Pulau Pinang mempunyai sejarah yang sangat istimewa kerana merupakan antara lokasi yang sudah lama berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix. Tahun tahun terdahulu menyaksikan Batu Kawan seringkali menjadi antara lokasi yang mengesahkan gelaran keseluruhan. Pada tahun 2017, Kasma Daniel Kasmayuddin dinobatkan selaku juara keseluruhan CP150 pertama di Batu Kawan ketika saingan masih berbaki satu pusingan manakala pada tahun lepas, Tengku Amirul Haffirudin juga dinobatkan selaku juara keseluruhan kategori CP115 seawal pusingan kelapan di sini.

Batu Kawan juga boleh dianggap sebagai ‘Home Race’ kepada jentera Honda kerana kedudukan kilang Boon Siew Honda yang tidak jauh daripada litar selain kedudukan ‘Design Village’, outlet membeli belah premium yang sangat hampir dengan litar menjadi tarikan untuk pengunjung ke sini. Sila bawa wang belanja lebih jika anda berkunjung ke Cub Prix Batu Kawan!!!

 

P3 TANGKAK, JOHOR 3-4 Mei 2019

Litar milik Kementerian Belia dan Sukan sepanjang 1.025km telah berjaya mengumpulkan kesemua pelumba Malaysia yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa pada tahun lepas. Bermula dari pelumba Malaysia pertama yang beraksi untuk musim penuh di kancah Grand Prix Dunia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, pelumba yang beraksi di kelas MotoGP pertama, Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin, juara Asia dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi serta pelumba generasi hari ini seperti Kasma Daniel Kasmayuddin.

Saingan kelas CP150 menyaksikan Kasma Daniel Kasmayuddin berjaya memperoleh kemenangan dua musim berturut-turut, jadi siapakah yang akan menakluk Litar Lumba Tangkak pada musim 2019?

 

P4 TELUK INTAN, PERAK 20 – 21 Julai 2019

Merupakan litar kedua terpanjang dalam kalendar kejuaraan Cub Prix dengan jarak 1.305km. Satu lokasi yang menarik kerana perlumbaan berlangsung di tengah bandar Teluk Intan, dan terletak berhampiran dengan mercu tanda popular Menara Condong.

Teluk Intan juga merupakan daerah kelahiran Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. Selain itu, Perak juga merupakan antara negeri yang sentiasa melahirkan pelumba-pelumba handalan dari dahulu sehingga ke hari ini. Sudah pasti Perak merupakan lokasi wajib disinggahi oleh kontinjen Cub Prix dan juga peminat-peminat sukan permotoran.

 

P5 KUALA TERENGGANU, TERENGGANU 23 – 24 Ogos 2019

Selepas beberapa tahun menyepi dari kalendar Kejuaraan Cub Prix, siri kejuaraan nasional ini kembali ke Terengganu pada musim lepas dan sekali lagi berada dalam kalendar pada tahun ini.

Selain Perak, Terengganu juga merupakan negeri yang mempunyai ramai pelumba-pelumba handalan. Juara Keseluruhan CP150 dan CP115 musim lepas, Ahmad Afif Amran dan Tengku Amirul Haffirudin, kedua-duanya berasal dari Dungun, Terengganu. Lebih mantap, kedua-duanya jugak berjaya memenangi perlumbaan di depan keluarga dan penyokong sendiri sewaktu di Terengganu. Agaknya dapat tak mereka mengekalkan lagi kemenangan pada musim ini?

 

P6 Akan Ditentukan 7 dan 8 September

Tidak ada apa yang boleh diperkatakan tentang pusingan ini. Jika pada musim lepas, Kangar menjadi venue keenam namun kali ini berbeza. Nantikan sahaja pengumuman rasmi dari pihak Kejuaraan Cub Prix. Surprise!!!

 

P7 KANGAR, PERLIS 5- 6 Oktober

Kangar merupakan litar paling pendek dalam senarai litar Cub Prix dengan jarak hanya 0.949km namun mempunyai cabarannya tersendiri. Saingan musim 2018 juga menyaksikan Kasma Daniel Kasmayuddin bersaing bersama-sama Ahmad Afif Amran untuk meraih kemenangan keduanya selepas muncul juara pada pusingan pembukaan. Afif yang tamat di kedudukan kedua dengan hanya perbezaan 0.201s di belakang Kasma terus menjarakkan diri di kedudukan teratas.

Kangar juga merupakan venue kedua di utara selepas Batu Kawan, dan juga venue ketiga di persekitan stadium selepas Batu Kawan dan Kuala Terengganu. Kita harapkan persaingan tahun ini terus mendapat sambutan meriah dari penonton khususnya di sekitar Perlis dan Kedah. Oh ya, kalua berkunjung Cub Prix Kangar nanti, jangan lupa bawa passport!!!

 

P8 JOHOR 19 – 20 Oktober

Johor sekali lagi menjadi venue untuk musim 2019 selepas Litar Lumba Tangkak. Namun lokasinya masih belum ditetapkan. Nantikan sahaja pengumuman oleh pihak Kejuaraan Cub Prix nanti!

 

P9 JEMPOL, NEGERI SEMBILAN N9 16 – 17 November

Tahun 2019 menyaksikan Bandar Seri Jempol menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan buat tahun ketujuh berturut-turut.

Pusingan kesembilan di litar sepanjang 1.104km ini seringkali dianggap pusingan getir kepada pelumba-pelumba kerana menjaadi penentu kepada gelaran keseluruhan.

Sama seperti musim lepas dimana Ahmad Afif Amran telah mengesahkan gelaran keseluruhan di sini meskipun masih berbaki satu pusingan perlumbaan lagi. Selain itu, kemeriahan di kawasan promosi sentiasa menjadi tumpuan penduduk sekitar.

 

P10 LITAR SEPANG, SELANGOR 7 – 8 Disember

Ada yang rindukan aksi Cub Prix di Litar Sepang tak? OK tahun ini Cub Prix kembali ke Litar Sepang selepas kali terakhir Cub Prix berlangsung di Litar Sepang (Utara) pada tahun 2013.

Sebagai venue terakhir untuk musim ini, pastinya pertembungan ‘Full Throttle’ antara Y15ZR dan RS150R sangat dinantikan oleh peminat-peminat memandangkan kelebihan di litar pendek banyak memihak kepada jentera dari Yamaha. Oh, jangan lupa, kepada yang sentiasa bertanyakan bilakah Cub Prix akan kembali ke Litar Sepang, kini sudah terjawab. Jangan tak datang pula ye Disember nanti.

 

,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *