fbpx

PERLUMBAAN OMR HONDA DAN YAMAHA PENTAS GILAP BAKAT MUDA


Saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS semakin hampir untuk membuka tirai bagi saingan musim 2019. Selain persiapan dan pertukaran barisan pelumba-pelumba dan pasukan, saingan kelas perlumbaan satu pengeluar ‘One Make Race’ Yamaha dan Honda sering menjadi perhatian khususnya bagi remaja-remaja yang begitu berminat untuk menceburi dunia sukan permotoran.

Tiga kelas perlumbaan kendalian Boon Siew Honda dan Hong Leong Yamaha ini terus memainkan peranan penting di dalam struktur pembangunan sukan permotoran negara. Jika anda cukup mengenali nama Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi, Adam Norrodin dan ramai lagi yang mewarnai sukan permotoran negara di pentas tertinggi, tahukah anda bahawa kesemua mereka itu mula mengembangkan karier di dalam siri perlumbaan satu pengeluar ini.

Tahun ini, pihak Kejuaraan Cub Prix menerima lebih 1600 permohonan sejak ia dibuka sepanjang Disember lepas dan daripada jumlah tersebut, kira-kira 200 daripada mereka telah dipanggil oleh pihak Honda dan Yamaha untuk menghadiri sesi pemilihan yang diadakan di Litar Elite Speedway PLUS baru-baru ini.

Sama seperti musim terdahulu, tahun ini saingan kategori satu pengeluar akan melibatkan tiga kategori perlumbaan iaitu Honda One Make Series, Yamaha PETRONAS Super Series dan juga saingan Yamaha NVX Challenge dan akan melibatkan 20 pelumba bagi setiap kategori. Kesemua peserta yang terpilih akan diumumkan dan dihubungi oleh pihak Honda dan Yamaha sendiri.

Lebih menarik, pada tahun ini juga bakal menyaksikan beberapa pelumba yang terpilih ke dalam kategori ini merupakan generasi pertama yang lahir dari program pembangunan sukan permotoran kendalian bersama pihak Kejuaraan Cub Prix dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu program Klinik Cub Prix KBS dan juga Mini Cub Prix KBS.

Program Klinik Cub Prix KBS merupakan satu program pencarian bakat yang melibatkan dua mentor permotoran negara iaitu Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan Azlan Shah kamaruzaman yang telah menjelajah ke 22 destinasi seluruh negara melibatkan golongan remaja berusia 13 hingga 22 tahun.

Sementara itu Kejuaraan Mini Cub Prix KBS merupakan siri perlumbaan ‘mini bike’ melibatkan 20 peserta berusia 12 tahun yang dijalankan sebanyak lima pusingan bersama-sama siri perlumbaan Kejuaraan Cub Prix. Empat pemenang menerima slot automatik bagi menyertai siri perlumbaan OMR musim 2019 termasuk tajaan yuran penyertaan dan komitmen.

Dengan langkah berterusan seperti ini oleh pihak penganjur Kejuaraan Cub Prix, PETRONAS, KBS, Honda, Yamaha dan barisan penaja, pastinya Malaysia tidak akan ketandusan bakat yang mampu mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

, , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *