fbpx

AZRUL BERI TEKANAN KEPADA YUSOF

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang memasuki pusingan kesembilan bagi musim 2015 yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan semakin menampakkan ketegangan apabila kini saingan semakin menghampiri ke penghujung musim.

Pelumba kategori Piala Pro-Am, Azrulaffendi Hadi yang juga merupakan juara pusingan kelapan lalu semakin memberi tekanan pada pendahulu kedudukan keseluruhan Mohd Yusof Omar apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi ujian masa dengan catatan 48.908 saat.

Keyakinan Azrul itu serba sedikit menggusarkan Yusof yang mencatatkan masa kedua terpantas dengan masa 50.214 saat seolah-olah memberi gambaran bahawa dia sekali lagi akan ditewaskan Azrul pada perlumbaan akhir.

Walau bagaimanapun Yusof masih mempunyai peluang meraih kedudukan grid utama pada sesi saringan yang akan berlangsung pada pagi Ahad bagi menghalang Azrul dari terus selesa berada di barisan depan.
Sementara itu pelumba yang kembali pulih dari kecederaan iaitu Siti Norafizah Mohamad mencatatkan masa ketiga terpantas dengan ketinggalan hanya 0.058 saat dibelakang Yusof.

Kedudukan keseluruhan kita menyaksikan Yusof berada di kedudukan pertama dengan 128 mata sementara Azrul kedua dengan dibezakan hanya 15 mata dan Hafizah ketiga dengan 101 mata.