AZROY MENYERLAH DI JEMPOL

Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan menyaksikan persaingan sengit dalam kategori CP150 apabila Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan Sesi Kelayakan.

Azroy mencatat masa terpantas 44.550s pada Sesi Kelayakan 2 CP150 B, menyingkirkan semua pencabar dengan kelebihan tipis. Prestasi cemerlang Azroy menandakan beliau berada dalam keadaan puncak menjelang perlumbaan esok, sekaligus memberi tekanan awal kepada barisan pelumba utama.

Tempat kedua disandang oleh Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING dengan catatan 44.698s, manakala Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR berada di kedudukan ketiga dengan 44.721s. Rakan sepasukan Nazirul, Kasma Daniel Kasmayudin, mencatat masa 44.751s untuk menduduki tempat keempat, diikuti oleh Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS pada 44.805s. Jurang masa di antara lima terpantas ini menunjukkan persaingan esok bakal berlangsung sengit.

Terdahulu, Sesi Kelayakan 1 CP150 A menyaksikan Kasma mengekalkan dominasi awal dengan catatan 44.751s, diikuti Afif pada 44.821s dan Nazirul dengan catatan masa 45.084s. Sementara itu, CP150 B pula menyaksikan Azroy menamatkan sesi pertama dengan 45.063s, diikuti Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang mencatat 45.096s dan rakan sepasukannya, Md Aiman Md Hafis, pada 45.139s.

Dalam Sesi Kelayakan 2, Afif mempamerkan peningkatan prestasi dalam CP150 A dengan 44.698s, menempatkan beliau sebagai pelumba terpantas sesi tersebut, manakala Kasma berada di kedudukan keempat. Bagi CP150 B, Azroy mengekalkan keunggulannya dengan 44.550s, diikuti Faiz dengan catatan masa 44.805s dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari HONDA ESTREMO YUZY RACING yang mencatat 44.902s.

Azroy berkata, “Bagi saya, trek Jempol ini adalah salah satu trek kegemaran saya. Tahun ini, keadaan trek dan tarmac juga menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini, jadi ia turut menyumbang kepada catatan masa yang lebih baik. Motor saya juga berada dalam keadaan baik. Kita lihat bagaimana keputusan perlumbaan esok.”

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)

  1. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA ESTREMO YUZY RACING (44.550s)
  2. AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (44.698s)
  3. NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (44.721s)
  4. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (44.751s)
  5. MD FAIZ ZEKRI SABRI – ATAS AHM MOTOR SPORTS (44.805s)