fbpx

AZROY LAKAR KEMENANGAN PERTAMA


Azroy Hakeem Anuar melakarkan kemenangan bagi pasukannya, Honda Yuzy Idemitsu apabila mendapat tempat pertama di sesi perlumbaan akhir di pusingan keenam, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi kategori CP150.
 
Selepas lima pusingan berjuang untuk menaiki podium di tempat pertama, akhirnya Azroy berjaya mendapat peluang untuk menunaikan hasratnya.
 
Azroy memulakan perlumbaannya di petak grid kedua selepas sesi “Super Pole” dengan catatan masa 1’18:223s. Perlumbaan yang sengit di antara pelumba-pelumba CP150 yang handal ini, walaupun telah menipiskan peluang beliau untuk menguasai litar, Azroy tampak hebat dengan persembahannya.
 
Di lap kelapan, kedudukannya semakin tergugat apabila Azroy jatuh ke kelompok di belakang. Ini telah menguatkan lagi semangatnya untuk terus berjuang. Pada lap terakhir, Azroy berjaya membuka langkah di kelompok tiga teratas dan pada selekoh terakhir, beliau mendapat peluang untuk mara ke depan.
 
Azroy menamatkan perlumbaannya di tempat pertama dengan catatan masa 14’29.364s.
 
Menurut Azroy, “Saya berterima kasih kepada pasukan kerana mereka telah mendapatkan penyelarasan yang baik untuk perlumbaan tadi. Perlumbaan tersebut sememangnya sengit dan saya hanya mencari jalan untuk menguasai litar tersebut.”
 
“Pada lap terakhir, saya merancang untuk berada di tempat kedua atau ketiga tapi rancangan saya tidak menjadi. Tapi mungkin kerana tempat tersebut ada tiupan angin dan saya terus dapat memintas sekurang-kurangnya empat atau lima buah jentera. Pada selekoh terakhir, saya berada di tempat ketiga dan terpaksa memintas Izzat Zaidi. Rancangan saya berjaya!”
 
Tempat kedua jatuh ke tangan Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 14’29:376s.
 
Md Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 14’29:387s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,