Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix telah bermula di Litar Bandar Medini Iskandar pada pagi ini. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing meraih catatan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori CP150.
Di sesi latihan bebas 1 pada awal pagi ini di litar basah, Kasma Daniel dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencatatkan masa terpantas pada 46’219s. Masa kedua terpantas di catatkan oleh Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang kini dalam misi memburu gelaran juara dengan catatan masa 46’764s. Azroy Hakeem Anuar yang ketinggalan satu pusingan mencatatkan masa ketiga terpantas pada 46’822s. Di sesi latihan bebas 2 pula, duo sepasukan Akid dan Afif kembali dengan semangat dominasi apabila Akid mencatatkan masa terpantas pada 44’252s dan Afif di tempat kedua terpantas dengan catatan masa 44’301s.
Di sesi kelayakan yang berlangsung pada sebelah petang, Akid tidak memberikan tekanan kepada dirinya untuk mencatat masa terpantas malah beliau telah menggunakan kaedah yang lebih santai pada 10 minit pertama untuk membiasakan diri dengan keadaan litar sebelum mencapai kedudukan kedua terpantas pada 44’626s, hanya 0.002s kurang daripada pelumba terpantas dari pasukan Honda. Azroy sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan catatan masa yang lebih baik dan telah mendominasi carta masa lap sepanjang sesi 15 minit tersebut. Bagi Azroy, ini adalah suatu peluang untuk menambahbaik kedudukan beliau setelah kehilangan mata di pusingan lepas. Beliau mencatat masa terpantas 44’624s. Pada musim lepas, Azroy mencatatkan masa terpantas 43’327s.
Menurut Azroy, “Ini kiranya pusingan pertama selepas ketinggalan satu pusingan di Litar Jempol. Saya tidak berlumba di Cub Prix agak lama jadi saya gunakan sesi ini untuk membiasakan kembali diri dengan jentera dan juga rentaknya. Syukur, semuanya berjalan dengan lancar lebih-lebih lagi dengan pasukan yang sudahpun memastikan jentera dalam keadaan yang optimum. Keadaan litar hari ini agak merbahaya untuk semua pelumba tetapi kami berharap, esok keadaannya lebih baik. Ini hanyalah sesi kelayakan dan lebih penting adalah sesi “Super-Pole” yang akan berlangsung pada pagi esok.
Di kedudukan ketiga terpantas adalah Kasma Daniel dengan masa terpantas 44’675s.