Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix telah bermula di Litar Bandar Medini Iskandar pada pagi ini. Abdullah Qayyum Razak dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team meraih catatan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori CP125.
Md Syamil Amysar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang juga dalam misi memburu gelaran juara awal mencatatkan masa terpantas pada 48’399s. Di tempat kedua adalah Md Shafiq Ezzariq dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team dengan catatan masa terpantas 48’482s diikuti oleh pelumba sepasukan Abdullah Qayyum dengan catatan masa 48’499s. Di sesi latihan bebas 2, pelumba Yamaha Tekhne AHM Motor Sports, Arash Tsunami seorang sahaja yang mencatatkan masa di bawah 47s dengan masa terpantas beliau pada 46’931s diikuti oleh pelumba Jetron Yamaha YYPang Racing team dengan catatan masa 47’096s. Di tempat ketiga terpantas adalah Syamil dengan catatan masa terpantas 47’145s.
Di sesi kelayakan pula, kedua-dua pelumba, Qayyum dan Izam Ikmal daripada kumpulan A dan B telah menunjukkan kebolehan mereka untuk mendominasi litar Medini. Bagi Qayyum, ini adalah kali pertama beraksi di litar Medini dan bagi Izam pula, ini adalah kali pertama beraksi di litar ini dalam kategori CP125. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan namun begitu, Qayyum yang masih baharu berjaya mendahului carta masa lap dengan masa terpantas pada 46’856s, 0.027s lebih pantas daripada Izam yang mencatatkan masa terpantas 46’883s.
Menurut Qayyum, “Saya tidak mempunyai pengalaman di litar ini kerana saya tidak dapat beraksi pada musim lepas. Jika dilihat, memang agak mencabar bagi saya tetapi saya cuba mengikut pergerakan rakan sepasukan saya iaitu Shafiq dan Khairi. Buat masa kini, saya tidak mempunyai sebarang “target” namun saya akan cuba juga untuk buat yang terbaik. Saya berterima kasih kepada pasukan serta krew dan mekanik kerana menyediakan jentera yang bagus sepanjang musim ini.”
Di tempat ketiga terpantas adalah Arash Tsunami dengan catatan masa 46’949s.