fbpx

AZROY CATAT REKOD BAHARU

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Jempol.

Pelumba CP150 ini telah menampilkan prestasi yang baik di Litar Jempol. Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix kembali ke Litar Jempol selepas dua tahun dan Azroy berjaya mengukir masa terpantas baru, 44.119s.

Cuaca panas terik di litar Jempol tidak menghalang pelumba yang tangkas ini untuk menguasai litar tersebut. Azroy menduduki tempat kelima secara keseluruhan dengan jumlah mata sebanyak 42 selepas menghabiskan perlumbaan pusingan keempat di tangga keempat.

Azroy walau bagaimanapun jatuh pada saat-saat akhir sebelum berakhirnya sesi kelayakan.

Menurut Azroy, “Sesi kelayakan tadi berjalan dengan lancar dengan keadaan jentera yang bagus. Pada awal sesi tersebut, saya cuba membawa jentera saya dengan lebih laju dan berjaya mencatatkan masa baru. Malangnya, saya juga ditimpa kemalangan kerana saya melebihi had tetapi bernasib baik kerana tidak cedera.”

“Bagi perlumbaan keesokkan hari, saya akan berusaha lebih dan berharap untuk mendapat tempatdi podium.”

Tempat kedua terpantas adalah milik Md Izzat Zaidi Md Salehan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 44.130s.

Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencatatkan masa ketiga terpantas dengan catatan 44.336s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook