Jika Amerika Syarikat mempunyai Kenny Roberts dan Kenny Roberts Jr manakala Britain mempunyai Wayne Gardner dan Remy Gardner, yang melakar nama dalam dunia permotoran iaitu kejuaraan dunia Moto2, Malaysia pula memiliki pasangan bapa dan anak , Syahrol Yuzy dan Syahrol Syazras yang turut melakar sejarah tersendiri di arena permotoran sukan kebangsaan, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Nama Syahrol Yuzy bukan asing dalam arena sukan permotoran kebangsaan mahupun antarabangsa, apatah lagi beliau merupakan pelumba tempatan pertama negara yang mengibarkan bendera Malaysia di persada dunia dengan meraih mata kejuaraan MOTOGP Sepang pada tahun 2001.
Shahrol Yuzy yang ketika itu berusia 44 tahun beraksi dalam kejuaraan motorsikal dunia tersebut dalam kategori 250cc mewakili pasukan Petronas Sprinta Team TVK.
Anaknya, Shahrol Syazras yang lahir tahun berikutnya mula mengikuti jejak langkah ayah agak lambat iaitu ketika berusia 15 tahun. Walaupun ‘Shahrol Jr’ memgambil sedikit masa sebagai penyambung generasi legenda sukan permotoran dua roda, minat tetap tercetus untuk menceburi sukan tersebut.
“Memang saya ambil sedikit masa untuk mula berjinak dalam sukan permotoran. Pada awalnya saya tidak begitu minat dengan sukan ini tetapi seiringnya masa berlalu, setiap kali melihat pelumba beraksi di litar ketika mengikut ayah ke MCP, secara automatik mula timbul rasa minat itu.
“Saya cukup teruja dengan keberanian dan kemahiran pelumba di atas litar setiap kali tengok mereka berlumba.
“Sebenarnya pada ketika itu, ayah pun tidak menggalakkan saya untuk berlumba, mungkin sebab perjalanan yang dia lalui sebagai pelumba. Dia pernah mengalami pelbagai kecederaan, patah tulang dan sebagainya. Jadi, dia tidak berapa setuju bila saya meluahkan keinginan malah ibu pun tidak sokong. Ibu mahu saya jadi Doktor.
“Tetapi nak buat macam mana. Minat saya tetap ke-arah ini juga. Selepas satu tempoh, kedua-dua ibu bapa saya setuju dan membenarkan saya untuk menyertai Cub Prix,” jelas Syazras.
Namun ia bukan satu perjalanan yang senang dan penuh dengan kemanisan bagi pelumba berusia 20 itu. Tambah lagi dengan bermula pada usia yang agak lambat, beraksi selaku waris Legenda Dua Roda Negara tetap memberi tekanan tinggi kepada Syazras.
Sudah pasti rata-rata peminat sukan pemotoran tanah air yang pernah menyaksikan zaman kegemilangan Shahrol Yuzy, akan meletakkan harapan yang tinggi terhadap anaknya. Bak kata ‘ Bakat menjadi pusaka turun temurun’ orang ramai mesti ada keinginan terhadap Syazras untuk membawa semula zaman kemegahan bapanya.
Persoalan di sini, adakah ia akan memberi tekanan untuk remaja berusia 15 tahun ketika itu untuk memikul cabaran tersebut? Jawapan Syazras sendiri. ‘YA’.
“Setiap kali saya ditemu bual mahupun orang di luar sana mesti ajukan soalan ini kepada saya dan sememangnya ada tekanan. Saya akui perkara tersebut. Pada mulanya memang saya agak tertekan. Ada rasa cemas namun ia tidak kekal lama.
“Sebab ayah selalu nasihatkan. Dia adalah dia dan saya adalah saya. Lepas itu baru saya mula rasa lega dan mula menerima keadaan seadanya. Saya mula mempercayai kebolehan diri saya sendiri dan fokus terhadap melakar kemenangan untuk nama saya selain memperbaiki prestasi saya sendiri.” katanya dengan nada yang lebih konfiden
Syazras memulakan karier sebagai pelumba profesional pada tahun 2017 bersama pasukan milik bapanya Honda Yuzy Idemitsu Team dalam kategori WIRA KBS. Jelas ia bukan mudah untuk memberi saingan di pentas yang cukup berkompetitif. Syazras agak bergelut pada tahun pertamanya apabila mengakhiri musim tersebut di tangga ke-18 tanpa podium dengan 11 mata.
Mencuba nasib di kelas CP115 pada tahun berikutnya, Syazras menampilkan aksi yang lebih meyakinkan apabila mengakhiri musim tersebut di tangga ke-14 manakala pada musim 2019 anak kelahiran Selangor itu berjaya menapak dirinya di sepuluh tangga teratas sekaligus berjaya merangkul podium sulungnya pada pusingan kelima yang berlangsung di Litar Terengganu.
“Pada tahun 2020 saya beralih ke kelas CP125 tetapi seperti sedia maklum negara dilanda pandemik COVID-19 dan tiada perlumbaan. Tahun seterusnya saya dipertandingkan pada kategori lebih tinggi iaitu CP150. Agak mencabar juga sebab bersaing di antara pelumba-pelumba yang berpengalaman.
“Prestasi bagi musim ini, saya agak berpuas hati cuma nasib belum menyebelahi saya lagi. Bagi saya setiap tahun adalah langkah pembelajaran bagi saya. Pasti kejayaan akan datang suatu hari nanti jika kita sentiasa berusaha.
Berbaki lagi tiga pusingan, Syazras kini berada di tangga ke-15 kategori CP150 dengan 17 mata. Beliau tekad untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sambal menimba pengalaman sebaik mungkin untuk mencatat mata semaksimum.
Pusingan ke-8 Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix 2022 akan berlangsung di Litar Tangkak minggu ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook