PATAH TULANG TIDAK PATAH SEMANGAT – ADIB ROSLEY

Tiga kemalangan yang mampu mengakhiri karier seorang pelumba profesional, namun ia sedikit pun tidak menggentar pelumba YYPANG Racing Team, Md Adib Rosley untuk bangkit semula demi minat terhadap permotoran.

Tahun 2015 boleh disifatkan detik malang tidak berbau dilalui pelumba kelahiran Selangor itu apabila patahnya tulang rusuk ketika beraksi dalam kategori CP115 pada pusingan akhir Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Jempol.

Kesilapan ketika berada di selekoh menyebabkan jentera Adib hilang kawalan dan terbabas. Impak yang kuat itu menyebabkan tulang rusuk Adib patah. Apa pun, kemalangan sebegitu tidak melemahkan semangatnya untuk terus menyarung jaket perlumbaannya pada persaingan seterus.

Selang dua tahun kemudian, Adib sekali lagi ditimpa nasib kurang baik apabila patah tapak tulang tapak kaki dan pada tahun ke 2019 pula mengharungi lagi satu kemalangan yang menyebabkan patah tulang peha ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan.

“Tiga insiden ini adalah punca prestasi saya tidak konsisten dalam beberapa tahun tersebut. Paling teruk adalah masa patah tulang rusuk ketika sesi kelayakan. Masa itu sifu ada tanya saya masih nak sambung perlumbaan atau tidak. Saya tetap mahu sambung dan lebih manis saya dapat meraih tempat ketiga. Selepas perlumbaan terus pergi cari pasukan perubatan.

“Saya tidak pernah rasa putus asa atau rasa takut selepas insiden-insiden ini malah saya akan tidak puas hati apabila saya tidak dapat berlumba. Ada pernah rasa risau selepas patah tulang tapak kaki sebab takut tak dapat berlumba lagi. Alhamdulilah saya dah pulih sepenuhnya.

“Setiap kali saya melalui tempoh yang sukar, ibu ayah dan Sifu yang selalu bagi dorongan. Mereka yang pembakar semangat saya. Sifu jarang sekali marah walaupun prestasi kurang. Komunikasi antara kami sangat bagus dan dia sangat memahami.” jelas Adib.

Adib mula menyertai sirkit kebangsaan dalam perlumbaan Yamaha GIVI Cup pada tahun 2007 dan beraksi selama dua tahun sebelum dinaikkan ke dalam kelas Wira. Dengan semangat juangnya yang tinggi, Adib berjaya meraih kemenangan di tangga kedua keseluruhan kelas Wira pada tahun 2009. Kekecewaannya berjaya ditebus semula pada tahun 2010 dengan tunggangan yang lebih cekap dan kemas untuk dianugerahkan sebagai Juara Wira 2010.

Tahun 2011, Adib gagal mempertahankan takhtanya dan hanya berpuas hati di tempat ketiga keseluruhan.

Kemantapan dan kemahiran membolehkan Adi melebarkan sayap ke peringkat Asia untuk bersaing bersama-sama para pelumba luar negara dalam Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) dalam kategori Underbone dan ternyata prestasinya semakin hari semakin memberangsangkan.

Namun insiden kemalangan dan juga ‘set-up’ jentera membuatkan Adib sedikit bergelut untuk kekal konsisten dalam kancah kejuaraan Malaysian Cub prix. Bagaimanapun hampir 15 tahun setia bersama Pasukan YYPANG Racing, Adib tetap menyumbangkan beberapa kemenangan yang bermakna kepada pasukan tersebut.

Lebih menarik, Adib turut berjaya menawan hati salah seorang pelumba wanita Jepun ketika beraksi di Suzuka. Berkongsi kisah cintanya, Adib berkata hubungan sudah mencecah empat dan beliau bakal ke Jepun untuk berjumpa dengan keluarga gadis idamannya.

“Kami jumpa ketika perlumbaan dan tidak sangka kita akan pergi sejauh ini. Saya telah membuat keputusan jumpa orang tuanya sebab dia dah jumpa kedua ibu bapa saya. Jadi, apa-apa pun kita doakan untuk terbaik.

“Ada seorang teman yang berada dalam bidang yang sama sebenarnya sangat membantu sebab dia sangat memahami situasi saya. Adakalanya saya rasa sedih atau ketika kekalahan dia akan beri dorongan dan sokongan. Berbeza budaya dan bahasa bukan satu masalah bagi kami.”

Bak kata, ‘Bahasa bukan penghalang Cinta’, Adib menemui cinta di negara matahari terbit itu!

Adib menyifatkan saat suka dan duka yang dilalui di arena Malaysian Cub Prix, menjadikan beliau seorang insan yang lebih matang mengendali kehidupan di litar mahupun di luar litar.

Prestasi Adib bagi musim 2022, tidak begitu memberangsangkan apabila hanya sekali pelumba berusia 28 itu merasai kenikmatan podium dan kini menghuni tangga ke-9 carta kelas CP125 dengan mengutip 39 mata selepas 7 pusingan.

“Saya cuba terbaik untuk mengekalkan momentum tetapi memang susah. Ada beberapa trek yang kami tak dapat ‘set-up’ enjin yang sesuai. Baki lagi tiga pusingan. Mengejar sasaran awal untuk berada di tangga tiga teratas agak mustahil. Jadi saya hanya mahu fokus kutip mata sebanyak mungkin.

“Musim ini hanya sekali saja saya dapat podium. Jadi saya akan cuba untuk dapatkan podium di Litar Tangkak, minggu ini.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook