Sukan merupakan medium perpaduan yang paling berkesan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Tanpa mengira bentuk sukan yang menjadi pilihan sama ada bola sepak, sukan permototan, badminton, olahraga dan bermacam-macam lagi aktiviti sukan, rata-rata penggemarnya mampu mengeratkan hubungan silaturahim.
Pada bulan yang cukup berpatriotik bermula Ogos sehinggalah ke sambutan Hari Malaysia pada 16 September pelbagai acara atau aktiviti sukan yang selalunya dianjurkan untuk mempamerkan keharmonian dan keistimewaan dimiliki negara unik ini. Hal ini memperkukuhkan lagi kenyataan ‘Sukan Wadah Terbaik Pupuk Perpaduan’ tanpa mengira elemen perbezaan ideologi, kaum, bangsa, budaya dan politik.
“Apakah signifikasi ‘Hari Malaysia’ padahal dah sambut ‘Hari Merdeka’ besar-besaran?” Meh sini. ‘admin’ terangkan.
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963 di mana ia menandakan hari penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Namun begitu, Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.
Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga diisytihar sebagai ‘Public Holidayyy’ pengumuman yang amat digemari rakyat Malaysia.
“Tetapi apa signifikasi Hari Malaysia di kancah sukan permotoran?”
Kembali ke kenyataan di atas SUKAN, wadah paling ulung menggamit semangat patriotisma dalam kalangan masyarakat Malaysia. Walhal, sukan adalah platform terbaik memangkin semangat patriotisme dan melentur semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang, agama serta keturunan. Begitu juga dalam arena sukan berprestij kebangsaan iaitu Kejuaraan Malaysian Cub Prix yang melahirkan ramai bakap jentera dua roda untuk hampit tiga dekad
Pada era 60-an dan 70-an mahupun 90-an, suasana dalam perlumbaan permotoran agak berbeza berbanding zaman sekarang. Penglibatan pelumba yang terdiri dari pelbagai bangsa akan menyemarakkan lagi suasana perlumbaan. Bukan sahaja pelumba malah juga penyokong.
Namun penyokong masih kekal memberi sokongan padu tetapi pelumba semakin kurang!
Detik-detik manis yang boleh juga disifatkan sebagai sejarah sukan permotoran telah dikongsikan oleh dua Legenda Cub Prix yang berjaya memahat nama di hati setiap peminat sukan permotoran tanah air dengan aksi cemerlang mereka.
Melakar nama selama 32 tahun dalam dunia sukan permotoran, bermula sebagai pelumba dan masih lagi menyumbang kepada sukan jentera dua roda negara dengan mencungkil bakat-bakat baru melalui pasukan miliknya. Tak lain tak bukan, Pang Yok You atau lebih dikenali YY Pang selain ‘SIFU’ pada tahun 90-an.
Sifu yang boleh digambarkan sebagai ‘veteran’ dalam kancah perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia itu sendiri merupakan seorang pelumba yang terkenal pada era 70-an hingga 80-an. Beliau bukan sahaja berlumba malah juga mengendali jenteranya sendiri setiap kali ada perlumbaan.
Berkongsi pengalaman berlumba pada zaman kegemilangannya, Sifu berkata, “ Suasana memang lain. Dulu kita ada banyak pelumba berbangsa Cina, India dan Melayu. Begitu juga mekanik dan ‘crew’ pasukan. Tak kira apa warna kulitnya semua bertungkus lumus untuk memberi kemenangan untuk pasukan.
Kami antara pelumba, di atas litar kami bersaing tetapi di luar litar kami semua berkawan. Setiap kali saya berlumba semangat yang diberi oleh penyokong sangat menakjubkan. Saya tidak tahu mereka Cina kah, Melayu Kah, India kah, tetapi mereka akan datang beri sokongan yang sangat bagus.”
Selepas bersara daripada perlumbaan bakti ‘Sifu’ terhadap sukan permotoran tidak kurang. Beliau kekal berada dalam kancah Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dengan mengasaskan YY Pang Yamaha Racing Team untuk menurunkan ilmu yang milikinya demi melahirkan lebih ramai bakat.
Salah satu bakatnya yang sedang beraksi ketika ini, Adib Rosley, menyifatkan Sifu dengan hanya satu perkataan ‘ COOL’!
“Saya jujur. Sifu seorang yang ‘cool’. Tanpa mengira keputusan kami baik atau tidak baik dia tidak pernah meluahkan perasaan tidak puas hati atau marah dengan kata-kata yang mengurangkan semangat kami. ‘He is the BEST’, katanya Adib ketika diminta mengulas mengenai Sifu.
Walaupun mereka berbeza bangsa, keakraban mereka ketika berada dalam satu pasukan cukup menggembirakan. Itulah keunikan yang kita miliki sebagai rakyat Malaysia.
Seorang lagi legenda yang beraksi pada era 2000-an K. Sivanesan, salah satu nama yang cukup ‘besar’ dalam sirkit kebangsaan antara jaguh lumba yang cukup hebat di zaman beliau seperti, M. Meganathan dan M. Munisparan.
Selain muncul selaku pelumba mengungguli litar pada suatu waktu beliau juga kini memiliki pasukan tersediri, Team 31 Racing yang merangkumi pelbagai kaum yang berusaha keras demi kejayaan yang cukup bermakna buat mereka.
Mengulas situasi belakang tabir K. Sivanesan berkata, “Dalam pasukan saya, kami ada semua kaum, Melayu, Cina dan India. Saya sendiri seorang pengurus berbangsa India tetapi saya mengurus pelumba-pelumba berbangsa Melayu dan mekanik yang berbangsa Cina serta Melayu. Saya tidak pernah ada isu untuk mengendali mereka. Mereka sangat menghormati dan ikut nasihat saya.
“Yang paling penting komunikasi dan sikap menghormati. Tanpa mengira kaum, umur, kedudukan, dalam pasukan ini, sikap menghormati itu akan sentiasa diberi keutamaan. Sebab pada pengakhiran setiap perlumbaan kemenangan atau kekalahan milik kami semua bukan saya seorang atau pelumba itu sendiri. Kami semua raih kemenangan itu bersama.
“Tanpa mereka tiada pasukan ini. Mereka adalah tunjang belakang pasukan setiap kali ada perlumbaan.”
Selain mereka arena Cub Prix turut memiliki beberapa legenda seperti Wazi Abdul Hamid dan Shahrol Yuzy. Mereka adalah antara nama-nama yang pernah melakar pelbagai kejayaan di Kejuaraan Malaysian Cub Prix dan kini masih lagi menyumbang kepada sukan permotoran dua roda ini.
Marilah kita salami sedikit sebanyak Fakta Malaysian Cub Prix.
- Shahrun Nizam Tamin memegang rekod selaku pelumba paling senior dalam sejarah Cub Prix tanahair apabila memenangi gelaran Raja Expert ketika berusia 37 tahun. Dia memulakan karier perlumbaan pada tahun 1983 namun kejayaan hanya menyusul selepas 20 tahun beraksi dalam kejuaraan ini. Semangat tidak putus asa yang dimiliki Shahrun akhirnya memberi kejayaan manis buat dirinya apabila membawa pulang mahkota Expert pada musim 2003.
- Musim 1998 menyaksikan Mohd Faisal Yahya mencipta kejutan dalam saingan kelas Expert apabila memenangi gelaran keseluruhan pada penampilan sulung bersama pelumba ternama lain. Dia menyaingi nama-nama hebat seperti Chia Tuck Cheong, Abdul Halim Mohd Zahid dan Soong Chee Kieong namun kekurangan pengalaman sedikitpun tidak mengugatnya untuk mengegar litar sekali gus mencipta kejayaan terbesar dalam kariernya
- Rekod hebat M. Meganathan masih sukar di atasi oleh pelumba lain sehingga ke hari ini. Dia memenangi gelaran Expert pada dua musim berturut-turut dan mengumpul empat kejuaraan Expert sepanjang kariernya. Pelumba yang cukup dihormati ini memenangi gelaran Raja Expert pada musim 1994, 1995, 1999 dan 2000. Mega memulakan karier perlumbaan seawal musim 90an dan hanya bersara dari dunia Cub Prix pada tahun 2008.
- Tiada pelumba yang sehebat Chia Tuck Cheong sehingga kini. Dikenali sebagai ‘Ko Lou’ oleh komuniti Cub Prix, Chia berada pada satu tahap yang berbeza dengan pelumba lain. Chia memenangi gelaran Expert pada musim 2001 dan pada masa yang sama dijulang selaku juara bagi kategori SuperSports 600cc dalam Kejuaraan Asia Road Racing. Untuk rekod, Chia memiliki dua gelaran Expert dan dua gelaran SuperSports 600cc.
SELAMAT HARI MALAYSIA!