Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 bagi kategori CP125 berlangsung dalam keadaan mencabar di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) apabila sesi kelayakan dijalankan dalam keadaan trek basah, sekali gus menguji tahap kawalan jentera dan setiap pelumba dalam menentukan catatan masa terbaik.
Sejak sesi latihan bebas, saingan dalam kelompok hadapan sudah menunjukkan persaingan yang rapat. Dalam Sesi Latihan Bebas 1, Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencatat masa terpantas 1’23.495s, diikuti Md Khairi Asyraf Mahmood dari IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM dan Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM yang turut berada dalam kelompok masa yang hampir sama.
Sesi Latihan Bebas 2 terus memperlihatkan pertukaran kedudukan apabila Md Syamil Amsyar M Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING muncul terpantas, manakala Idlan sekali lagi mengekalkan prestasi konsisten di kelompok hadapan. Emil turut kekal kompetitif dengan catatan masa yang tidak jauh berbeza, menjadikan persaingan terbuka tanpa dominasi jelas.
Namun, keadaan berubah apabila Sesi Kelayakan berlangsung dalam keadaan trek basah. Dalam situasi itu, Arash Tsunami Kamarudin dari AHM IPONE RACING TEAM tampil dengan catatan terbaik 1’33.671s untuk menguasai sesi, diikuti Md Haziq Md Hamdan dari J DOUBLE EIGHT RACING di tempat kedua dan Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR di tempat ketiga.
Arash turut berdepan detik mencabar apabila terjatuh di Selekoh 1 pada awal sesi kelayakan. Namun, beliau kembali ke atas jentera dan menukar pendekatan tunggangan serta memilih pendekatan berbeza. Perubahan itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya menemui rentak terbaik dan mencatat masa terpantas sesi.
Kata Arash, “Saya memang rasa trek hari ini sangat mencabar kerana keadaan basah dan licin. Pada awal sesi, saya terjatuh di Selekoh 1 dan itu agak menjejaskan keyakinan saya. Selepas itu saya cuba tenangkan diri dan pilih untuk tunggang sendiri tanpa ikut sesiapa. Rupanya cara itu lebih membantu saya untuk kawal jentera dengan lebih baik. Dari situ saya dapat semula rentak dan akhirnya catat masa terbaik. Bagi saya, esok masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dari segi konsistensi. Saya akan cuba buat yang lebih baik dalam sesi Shoot Out nanti. Litar ini tidak mudah, jadi saya perlu kekal fokus dan elak kesilapan kecil yang boleh beri kesan besar.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
- ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – AHM IPONE RACING TEAM (1’33.671s)
- MD HAZIQ MD HAMDAN – J DOUBLE EIGHT RACING (1’34.359s)
- MD ADIE PUTRA SUKARNO – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’34.541s)
- MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1’35.242s)
- MD SYAMIL AMSYAR M IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’35.323s)

