MALEK RAIH PETAK UTAMA

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 bagi kategori WIRA di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang terus mempamerkan aksi mendebarkan apabila Sesi Kelayakan berlangsung dalam keadaan trek basah yang mencabar, namun Ahmad Malek Ridha dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mengatasi cabaran tersebut untuk muncul pelumba terpantas.

Sebelum hujan turun, Sesi Latihan Bebas menyaksikan persaingan sengit di atas trek kering apabila Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING muncul terpantas dalam Sesi Latihan Bebas 1 dengan catatan 1’25.580s, sebelum Malek menguasai Sesi Latihan Bebas 2 dengan masa terbaik 1’24.783s. Perubahan cuaca bagaimanapun mengubah keseluruhan dinamik apabila Sesi Kelayakan berlangsung dalam keadaan basah, sekali gus memaksa semua pelumba menyesuaikan semula pendekatan tunggangan dalam masa yang singkat.

Dalam keadaan mencabar itu, Malek tampil cemerlang apabila mencatat masa terpantas 1’34.443s untuk merampas petak utama. Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING itu menunjukkan kawalan jentera yang kemas di permukaan licin, terutama ketika melalui sektor-sektor akhir yang menentukan masa terbaik sesi, selain bijak memilih laluan perlumbaan yang lebih konsisten tanpa melakukan kesilapan besar. Prestasi tersebut mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pencabar utama perlumbaan minggu ini.

Rakan sepasukan Malek, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, turut memberikan tekanan hebat apabila menamatkan sesi di tempat kedua dengan catatan 1’35.051s, melengkapkan penguasaan dua posisi teratas buat pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING. Namun begitu, saingan sengit tidak memberi ruang selesa apabila Md Ikram Dani dari MBI Selangor Mottoroy XLA turut mencabar dengan masa 1’35.307s untuk berada di kedudukan ketiga, hanya dipisahkan dengan margin kecil.

Tempat keempat menjadi milik Mr Airel Ahmad Marzuki dari Honda RS Megatech Racing Team dengan 1’35.328s, manakala Md Afiq Syazanie Muhd Zaini dari MBI Selangor Mottoroy XLA melengkapkan kelompok lima terbaik dengan 1’35.376s. Perbezaan masa yang rapat ini menunjukkan bahawa setiap lap yang bersih dan setiap pilihan garisan perlumbaan memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan grid, khususnya dalam keadaan trek basah yang tidak konsisten.

Malek berkata, “Cabaran Sesi Kelayakan tadi memang sangat berbeza. Daripada keadaan kering pada sesi latihan bebas, kami terpaksa terus menyesuaikan diri dengan litar basah yang licin. Terima kasih kepada mekanik dan kru pasukan yang cepat mencari setup terbaik untuk keadaan ini. Saya cuba kekal tenang dan fokus pada tunggangan sendiri tanpa terlalu ikut pelumba lain, dan saya berjaya mencatat masa yang baik. Untuk esok, saya tahu keadaan berkemungkinan berubah lagi, jadi saya perlu lebih bersedia dari segi mental dan teknik. Saya akan cuba berikan yang terbaik dalam perlumbaan nanti.”

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING

  1. AHMAD MALEK RIDHA – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’4.443s)
  2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’35.051s)
  3. MD IKRAM DANI – MBI SELANGOR MOTTOROY XLA (1’35.307s)
  4. MR AIREL AHMAD MARZUKI – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (1’35.328s)
  5. MD AFIQ SYAZANIE MUHD ZAINI – MBI SELANGOR MOTTOROY XLA (1’35.376s)