Persaingan kategori CP150 di Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 terus menghangat apabila keputusan keseluruhan gabungan Sesi Kelayakan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) menyaksikan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Md Nazirul Izzat Md Bahauddin, muncul terpantas sekali gus memberi bayangan awal persaingan sengit menjelang sesi Super Pole.
Selepas Sesi Latihan Bebas yang dikuasai oleh Md Muzakkir Mohamed dari VOGE RACING TEAM dengan catatan 1’21.364s, aksi sebenar mula memuncak dalam Sesi Kelayakan 1 apabila para pelumba mula memperkemaskan rentak bagi memburu kedudukan terbaik.
Nazirul tampil mencuri tumpuan apabila mencatat masa terpantas 1’20.959s pada pusingan ketujuh, sekali gus menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya mencatat masa bawah 1 minit 21 saat sepanjang sesi kelayakan. Catatan itu meletakkan beliau di kedudukan teratas keseluruhan, mengatasi pencabar terdekat, Muzakkir, yang mencatat 1’21.256s, hanya 0.297s di belakang Nazirul.
Turut berada dalam kelompok hadapan ialah rakan sepasukan Nazirul, Kasma Daniel Kasmayudin, yang menamatkan sesi di tempat ketiga keseluruhan dengan masa 1’21.375s, 0.416s di belakang pendahulu. Kehadiran dua jentera PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dalam kelompok tiga terbaik memberi petanda awal bahawa pasukan itu bakal menjadi antara pencabar utama dalam perebutan kemenangan.
Sementara itu, Md Fareez Afeez Abd Rahman dari MOTUL YAMAHA YY PANG RACING TEAM menamatkan sesi di tempat keempat dengan masa 1’21.672s, manakala Md Farish Hafiy Farid Sezli dari IDEMITSU HONDA YAM RACING melengkapkan kelompok lima terpantas menerusi catatan 1’21.823s.
Walaupun Sesi Kelayakan 2 berlangsung dalam keadaan lebih perlahan dengan catatan terbaik 1’32.187s milik Md Afizad Supaat dari VOGE RACING TEAM, berpunca daripada cuaca hujan, masa terbaik yang dicatat dalam Sesi Kelayakan 1 kekal menjadi penentu kedudukan keseluruhan.
Catatan masa yang kompetitif dalam kelompok hadapan menunjukkan persaingan masih terbuka, dengan beberapa pencabar utama dijangka memberi tekanan dalam perebutan petak utama menjelang sesi Super Pole.
Nazirul berkongsi, “Hari ini saya rasakan magneto motor agak ringan dan ada sedikit peningkatan positif dari segi kelajuan. Bagaimanapun, ia masih belum cukup untuk mengejar jentera Honda dan Voge. Kami berharap pelarasan motor dapat ditambah baik lagi selepas ini untuk memberikan saingan yang lebih sengit kepada mereka. Dalam sesi kelayakan hari ini, saya telah menunggang melebihi had 100 peratus, dan untuk esok saya perlu berusaha dengan lebih keras demi berada di barisan hadapan dan meraih kedudukan podium.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING (COMBINED)
- NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’20.959s)
- MD MUZAKKIR MOHAMED – VOGE RACING TEAM (1’21.256s)
- KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’21.375s)
- MD FAREEZ AFEEZ ABD RAHMAN – MOTUL YAMAHA YY PANG RACING TEAM (1’21.672s)
- MD FARISH HAFIY FARID SEZLI – IDEMITSU HONDA YAM RACING (1’21.823s)

