AMIRUN PERKUKUH KEDUDUKAN

Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing tampil dengan kejayaan di tempat pertama bagi kategori Wira KBS untuk Pusingan kelima, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu.

Bermula dari petak grid pertama adalah Danish Iqram dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing yang telah mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan semalam diikuti oleh pelumba sepasukan Adib Arsyad dan Amirun Haziq dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di petak grid ketiga.

Bermulanya perlumbaan, Danish pantas mengambil kedudukan pertama diikuti oleh rakan sepasukannya, Adib di P2 sebelum di pintas oleh Farish. Di lap kedua, Farish membuka langkah untuk memintas Danish. Di P3, Amirun mencari peluang untuk memintas tetapi kedua-dua pelumba di hadapan hebat mempertahankan kedudukan mereka. Di lap keempat, Danish menutup jurang di antara Farish lalu memintasnya.

Sepanjang perlumbaan, Danish dan Farish masing-masing memberikan tekanan sesame sendiri. Berbaki empat lap, Farish memintas Danish diikuti oleh Amirun di P2. Di P4, Adib cuba memberikan saingan kepada Danish tetapi tidak berjaya. Dua lap lagi, persaingan bertambah sengit di antara Farish dan Amirun. Kedua-dua pelumba tersebut pada ketika itu berjaya telah membuka ruang di antara kelompok pelumba di belakang.

Di lap terakhir, Amirun memintas Farish dan mula meningkatkan kelajuan. Danish yang kini berada di P3 cuba mengambil kedudukan Farish tetapi masing-masing hebat mempertahankan kedudukan dihadapannya sebelum Amirum memecut ke garisan penamat dengan catatan masa 10’43:983s.

Menurut Amirun, “Untuk perlumbaan kali, saya amat gembira kerana mendapat tempat pertama. Keadaan jentera saya kali ini agak bagus dan saya dapat menggunakan strategi seperti yang telah dibincang dengan pasukan saya. Perlumbaan tadi memang sengit lebih-lebih lagi dengan pelumba-pelumba lain yang memberikan tekanan tetapi saya bersyukur dengan kemenangan pada petang ini.”

Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Bad Lad Honda KC Racing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 10’44:167s.

Di tempat ketiga adalah Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa 10’44:276s

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook