fbpx

AKID LAUNG AMARAN AWAL

Pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah bermula hari ini di Litar Permotoran Terengganu dengan cuaca yang agak baik. Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing berjaya mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori CP150 yang berlangsung pada petang tadi

Di sesi latihan bebas 1 yang berlangsung pada waktu pagi tadi, Kasma dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencatatkan masa terpantas pada 48’923s diikuti oleh Akid dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 49’301 dan Muzakkir dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team pada 49’324s.

Sesi kelayakan pusingan kelima dibahagikan kepada dua sesi agar para pelumba dapat menyesuaikan diri di litar dan mempertingkatkan lagi prestasi untuk catatan masa terpantas. Di sesi kelayakan 1, Akid mencatatkan masa terpantas dengan catatan 49’012s diikuti oleh Kasma dengan catatan masa 49’086s dan Afif dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 49’227s. Di sesi kelayakan 2, Akid memperbaiki lagi prestasinya lalu mencatatkan masa terpantas sekali lagi dengan catatan masa 48’846s diikuti oleh Muzakkir dengan catatan masa 48’902 dan Afif pada 48’974s.

Akid yang kini menduduki tempat pertama secara keseluruhan tampak hebat di Litar Terengganu. Di perlumbaan akhir pusingan ketujuh yang berlangsung di litar ini pada tahun lepas, Akid hanya mendapat tempat kelima. Musim ini agak berlainan bagi beliau lebih-lebih dengan pencapaiannya di podium sebanyak tiga kali berturut-turut. Beliau telah menunjukkan penguasaannya beliau bukan sahaja di litar kelajuan tinggi malah juga di litar yang teknikal.

Menurut Akid, “Jangkaan saya untuk perlumbaan esok sudah mesti sengit kerana ramai pelumba yang hebat, masing-masing agak laju dan agak sukar untuk mendapatkan masa yang baik. Keadaan jentera juga harus diperiksa setiap kali untuk memastikan ia berada di tahap yang optimum. Bagi saya, semua pelumba di kategori ini adalah hebat dan jentera pun sama kelajuan tetapi bezanya adalah cara berlumba yang berlainan. Untuk setakat ini, saya tak yakin 100% lagi dengan litar tetapi saya akan terus berusaha dan harapan untuk menang. Menang memang sukar lebih-lebih lagi dengan barisan pelumba yang sentiasa mencabar tetapi saya akan cuba buat yang terbaik.”

Di tempat kedua terpantas adalah Md Muzakkir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 48’902s.

Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mengambil tempat ketiga terpantas dengan catatan masa 48’974s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook