Pusingan pembukaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Lumba Tangkak, Johor berlangsung hari ini dengan Md Syamil Amsyar M Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING menamatkan hari pertama sebagai pelumba terpantas dalam sesi kelayakan keseluruhan kategori CP125.
Dalam keadaan beberapa pasukan masih bergelut mencari peningkatan pada jentera masing-masing susulan regulasi baru musim ini, Syamil tampil menyerlah apabila mencatat masa terpantas 45.286s, sekali gus meletakkan dirinya sebagai pencabar utama menjelang perlumbaan esok.
Sama ada beliau sudah menemui tetapan terbaik ataupun jentera baharu musim ini lebih sesuai dengan gaya tunggangannya, juara CP125 musim 2024 itu jelas hadir dengan misi untuk bangkit dan menebus semula gelaran yang terlepas daripada genggamannya musim lalu.
Di belakang Syamil, Ahmad Iqram Danish dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM turut mempamerkan peningkatan konsisten sepanjang hari apabila memperbaiki catatan masanya daripada 45.946s dalam Latihan Bebas 1 kepada 45.638s dalam Latihan Bebas 2 sebelum menamatkan sesi kelayakan dengan 45.400s untuk berada di tempat kedua keseluruhan.
Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM pula mencatat 45.422s untuk berada di kedudukan ketiga, manakala rakan sepasukan Syamil, Md Farid Hakimi Farid Sezli, memastikan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING turut mengisi tempat keempat dengan masa 45.445s.
Kelompok lima terpantas dilengkapkan oleh seorang lagi pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, yang mencatat masa 45.560s, menjadikan persaingan dalam kategori CP125 semakin terbuka.
Syamil berkata, “Hari ini saya agak berpuas hati kerana catatan masa kami menunjukkan peningkatan dalam setiap sesi. Walaupun regulasi baru menyebabkan kami perlu mencari semula tetapan motosikal yang sesuai, kami tetap berusaha memperbaiki kelajuan melalui tayar, suspensi dan aspek lain. Sudah tentu saya mahu mendapatkan semula kejuaraan dan semua persiapan yang saya lakukan musim ini memang untuk kembali menjadi juara,” katanya.
TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
- Md Syamil Amsyar M Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (45.286s)
- Ahmad Iqram Danish – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (45.400s)
- Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (45.422s)
- Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (45.445s)
- Md Farish Iqmal Khayrul Elyas – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (45.560s)

