Pusingan pembukaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini menyaksikan Md Airel Ahmad Marzuki dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM menamatkan hari pertama sebagai pelumba terpantas dalam sesi kelayakan kategori WIRA.
Kategori WIRA turut didominasi jentera Honda apabila tiga kedudukan teratas menjadi milik pelumba mereka, dalam persaingan sengit yang dipisahkan dengan jurang masa yang sangat rapat.
Airel mencuri perhatian apabila muncul sebagai satu-satunya pelumba yang berjaya mencatat masa bawah 46 saat dengan 45.982s, sekali gus meletakkannya di kedudukan pertama. Beliau diikuti rakan sepasukan, Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam, yang hanya ketinggalan 0.021s dengan catatan 46.003s.
Tempat ketiga pula menjadi milik Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, yang terus konsisten berada dalam kelompok hadapan sejak sesi latihan bebas pertama dengan catatan 46.021s.
Duo PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Nuzzul Ady Muhammad Sudin dan Raja Abdurraqib Raja Norfatihah, melengkapkan lima kedudukan teratas masing-masing di tempat keempat dan kelima dengan catatan 46.056s dan 46.191s, namun masih dilihat bergelut untuk menyaingi kelebihan jentera Honda setakat ini.
Airel menyatakan rasa berpuas hati dengan permulaan musim pertamanya dalam kejuaraan ini, walaupun masih dalam proses memahami sepenuhnya motosikal dan tetapan pasukan.
“Walaupun ini kali pertama saya menyertai kejuaraan ini, saya berjaya mendapatkan tetapan yang baik pada hari pertama. Masih ada beberapa perkara seperti enjin, kiraan sproket dan data yang saya sedang pelajari untuk lebih memahami motosikal ini. Namun alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan kami masih ada peluang untuk mencuba tetapan lain esok. Saya semakin serasi dengan pasukan selepas dua sesi latihan bebas sebelum ini dan hubungan dengan rakan-rakan sepasukan juga semakin baik. Untuk perlumbaan esok, saya akan cuba berikan yang terbaik. Saya juga mempunyai rakan sepasukan, Akid, yang akan bermula dari petak kedua. Tadi saya sempat bersaing bersamanya, dan esok kami akan cuba merebut kedudukan satu dan dua. Pasukan kami sentiasa mengutamakan kerjasama sepasukan, jadi siapa pun yang berada di nombor satu bukanlah isu, asalkan pasukan kami yang berjaya mendapatkannya.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
- Airel Ahmad Marzuki – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (45.982s)
- Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (46.003s)
- Adi Putra Anahar – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (46.021s)
- Nuzzul Ady Muhammad Sudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (46.056s)
- Raja Abdurraqib Raja Norfatihah – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (46.191s)

