Pusingan pembukaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini menyaksikan HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING mendominasi sesi kelayakan keseluruhan kategori CP150 menerusi dua pelumbanya, Azroy Hakeem Anuar dan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir.
Pasukan itu dilihat antara yang paling pantas menyesuaikan diri dengan perubahan regulasi baru musim ini apabila Azroy mencatat masa terpantas 44.914s, diikuti Darwisy dengan 45.013s, sekali gus menguasai dua kedudukan teratas carta gabungan sesi kelayakan.
Turut mencuri perhatian ialah pendatang baru CP150, Farres Putra Mohd Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, yang menamatkan sesi di tempat ketiga dengan catatan 45.213s, membuktikan kehadirannya bukan sekadar pelengkap saingan musim ini.
Di belakang kelompok tiga teratas, Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING mencatat masa 45.218s untuk berada di tempat keempat, manakala Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR melengkapkan lima terbaik dengan catatan 45.285s.
Prestasi positif turut dipamerkan VOGE RACING TEAM, apabila Md Muzakkir Mohamed berjaya meletakkan pasukan itu dalam kelompok 10 terpantas selepas bergelut sepanjang musim pertama mereka tahun lalu.
Azroy berkata, “Hari ini semua catatan masa agak rapat, jadi saya menjangkakan saingan yang lebih sengit pada perlumbaan esok. Pasukan juga telah melakukan kerja dengan sangat baik dan kami akan terus berusaha memperbaiki segala kekurangan. Saya juga gembira Darwisy dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan kami berjaya menghadiahkan keputusan P1 dan P2 buat pasukan. Insya-Allah kami akan cuba berikan yang terbaik sekali lagi esok.”
TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
- Azroy Hakeem Anuar – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (44.914s)
- Ahmad Darwisy Ahmad Sahir – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (45.013s)
- Farres Putra Mohd Fadhil – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (45.213s)
- Md Haziq Md Fairues – IDEMITSU HONDA YAM RACING (45.218s)
- Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (45.285s)

