Md Adib Hakim Nazri dan Md Zuhailnabil Muhamad Zamree kini merupakan calon paling hampir untuk dinobatkan sebagai Juara AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge musim 2021. Persaingan antara mereka pastinya dijangka sengit pada dua pusingan terakhir musim ini.
Pendahulu semasa, Adib Hakim mula mengatur langkah mengejar gelaran juara setelah mempamerkan aksi cemerlang di Litar Lumba Tangkak bulan lalu. Kemenangan berganda membolehkan beliau memintas Zuhailnabil yang sebelum itu memimpin kedudukan keseluruhan pelumba. Adib yang kini mengumpul 130 mata melalui empat podium termasuk tiga kemenangan berada pada tahap terbaik untuk bergelar juara.
Namun perbezaan 3 mata antara kedua pelumba itu belum menutup peluang Zuhailnabil yang mempunyai rekod cemerlang berlumba di litar besar dan berkelajuan tinggi. Beliau yang melangkah ke podium sebanyak empat kali pada musim ini pernah menawan Litar Sepang Utara dan juga Litar Permotoran Terengganu. Berdasarkan rekod tersebut, dua pusingan terakhir ini akan memberi sedikit kelebihan kepada beliau yang lebih serasi berlumba di litar sedemikian.
Dalam perlumbaan apa sahaja boleh berlaku dan secara matematiknya dua lagi pelumba, Md Mikail Razlan Hashim dan Md Azam Adli Mohd Isnaini juga masih berpeluang mencabar kejuaraan AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge berdasarkan jumlah mata semasa dan baki perlumbaan. Mikail kini mengumpul 105 mata manakala Azam pula dengan 81 mata pastinya akan cuba memberikan saingan untuk meletakkan diri pada kedudukan terbaik musim ini.
Persoalan ini bakal terjawab nanti apabila Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia Pusingan 9 dan 10 akan kembali bersambung pada 17-19 Disember di Litar Sepang Selatan setelah berehat lebih sebulan.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook